PUTRAJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan kementerian berkaitan bekerjasama mewujudkan kod etika untuk ibu bapa bagi mengelakkan berulangnya kejadian guru diserang.

Usul itu antara cadangan yang dikemuka pada Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP ke-21, di sini.

Mengulas perkara itu kepada pemberita hari ini, Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika dilihat semakin perlu berikutan kecenderungan ibu bapa sekarang yang gemar menyerang guru apabila tidak berpuas hati dengan tindakan dikenakan kepada anak mereka.

Ini katanya menyebabkan kebanyakan guru keberatan mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar bermasalah.

“Kadang-kadang isu kecil sahaja, sepatutnya mereka bersikap profesional dan bertemu dengan pengetua dahulu, tetapi mereka terus menyerang guru,” katanya.

Beliau yang mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggubal kod etika itu,  berkata kod serupa wujud di kebanyakan negara maju seperti Sweden.

– BERNAMA

Kita selalu mendengar guru diserang, disaman dan laporan polis dibuat kepada guru atas alasan guru ada memukul anaknya, merotan, mencubit, mendenda, dan sebagainya.

Banyak kes yang berlaku sebenarnya hal kecil yang diperbesarkan.

Sebagai ibu bapa kita perlu tetapkan bahawa anak kita bukanlah baik sangat, kita hantar ke sekolah untuk dididik menjadi murid yang berdisiplin, berakhlak, menghormati orang tua dan berilmu..

Oleh itu, kita harus mempercayai guru yang dilantik untuk mengajar, kalau anak kita salah biarlah dia didenda. Supaya dia tahu perkara yang dibuat itu salah dan ada pengajaran. Biar anak mengerti erti kehidupan, ini baru di alam persekolahan. Nanti anak ini akan masuk ke alam pekerjaan, takkanlah apabila kena marah dengan bos di tempat kerja, balik rumah report ke mak..

Kita juga faham, kadang-kadang ada juga guru yang terlepas pandang, mungkin kerana terlalu geram, sampai tidak dapat mengawal perasan marah. Namun hanya sebilangan kecil sahaja. Guru jadi garang bukan apa, ia kerana mahu memastikan murid mendengar arahannya, bukan senang nak kawal 40 orang 1 kelas. Tambah lagi kelas yang hampir semua ada pelbagai kenakalannya.

Semoga ibu bapa dan guru dapat bersama bersatu hati mendidik anak-anak kearah murid yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi dari segi sahsiah dan rohaninya.