Memandangkan aku baharu sahaja berpindah di negeri arah selatan ini, aku dianggap sebagai guru baharu, tetapi sebenarnya dah 6 tahun berkhidmat. Disebabkan aku pun belum membiasakan diri lagi bekerja di sekolah yang dikatakan mengejar baiah ini, aku tidak menolak kerja-kerja yang dilambakkan kepada aku.
Semua tugas-tugas besar, aku diletakkan sebagai ketua, dalam masa yang sama juga aku adalah Guru Kelas. Faham-faham je lah apabila dah jadi guru kelas, memang dari pagi sampai petang tak berhenti kerja. Dari pagi dengan APDM sampailah ke SAPS, PAJSK nya, aku nak makan pun kena tapau je, tak pun makan biskut je buat alas perut.
Biarpun banyak kerja yang diberikan, pelbagai minit, kertas kerja, laporan, dan segala macam kerja-kerja pengkeranian, aku berusaha untuk siapkan semuanya. Walaupun ada AJK di bawah aku, tetapi faham-fahamlah tradisi di SK ni, siapa ketua dialah kena buat semua. Bukan tak dibahagikan tugas, tetapi sudah menjadi tradisi.
Orang mengelar aku cikgu rajin, cikgu yang boleh buat kerja. Mungkin mereka juga sebenarnya ada tugas-tugas mereka lain, pegangan di sini kalau tak buat akan ada yang akan buat.. Hmm yang kena buat tu aku lah.
Aku sebenarnya cuba nak menolak kerja dan jawatan yang diberikan tetapi bila tolak 1, 3 lagi diberikan. Dah tak da cikgu lain ke? Ada, cuma pentadbir tak nak harapkan orang lain, dia nak yang rajin buat kerja je. Wah senang kerja, patut lah aku tengok cikgu-cikgu otai tu rileks je. Pentadbir pun tak bagi kerja kat dia, kalau bagi tak siap la jawab nya.
Mangsanya? Mangsanya aku dan guru-guru yang boleh buat kerja..
Aku tahu bukan aku seorang je yang menerima ‘dugaan’ macam ni, anda yang sedang membaca kisah ini pun pasti alaminya. Kita tidak pandai nak melawan. Mungkin konsep siapa rajin dialah kena buat kerja ni melanda seluruh negara rasanya.
Aku tidak kisah diberikan tugas ini sebenarnya tetapi pentadbir terutamanya Guru Besar perlulah bertimbang rasa. Kita kerja macam robot, pagi sampai malam bawa balik kerja sambung kat rumah pula. Sekurang-kurangnya berilah aku ruang untuk bernafas.
Pernah ada seminggu tu aku perlu siapkan 5 kerja, 5 benda serentak seminggu nak siapkan. Ditambah pula meeting setiap hari, dan kedatangan pemantau dari JPN, nak buat pencerapan Abad-21. Boleh pula Guru Besar cadangkan cerap aku mengajar, kepala dah pening, dah serabut, kerja bertimbun. Akhirnya aku jumpa Guru Besar aka yang garang ni..
Puan, saya minggu ni banyak sangat kerja boleh tak, untuk pencerapan tu bagilah kelas lain dahulu?
Awak tak boleh tolak, saya dah pilih awak, jadi awaklah yang kena!
Tapi saya banyak kerja, 5 kerja nak kena siapkan minggu ni, kalau tidak saya terpaksalah abaikan kerja-kerja ni.
Awak jangan nak melawan, baru kerja sikit dah nak memberontak! Markah prestasi awak di tangan saya.
Dalam hati aku, rasa nak tumbuk je muka GB ni. Kat sekolah ni aku buat semua kerja, tak pernah memberontak, tak pernah tolak kerja, baru minta ihsan sikit dah bagi ugutan.
Minggu tu adalah minggu paling penat, nampaknya orang atas hanya ambil kesempatan atas kepatuhan aku, Saya Yang Menurut Perintah (SYMP). Apa guna hidup tak tenang, keluarga kadang-kadang terabai.
Minggu depannya aku MC dua hari, otak aku perlu berehat. Badan dah penat. Aku perlu lakukan sesuatu supaya orang tidak ambil kesempatan atas aku.
Apa aku buat? Ya, aku buat kerja hakiki aku, guru mengajar, murid belajar. Kerja lain aku buat masa free sahaja, aku tidak lagi ikut sangat tarikh yang pentadbir tetapkan. Aku tahu kadang-kadang benda lambat lagi nak, tapi sengaja GB aku awalkan seminggu, itu yang kerja jadi penuh tu.
GB mula perasan yang aku dah mula pandai menolak kerja, hantar dokumen pun tidak secepat dulu.
Waktu makan aku pun dah stabil sekarang ni, ada sekali aku berborak dengan cikgu otai yang rileks tu..
Cikgu apa tips cikgu boleh tenang je saya tengok?
Wahai anak muda, cikgu ni kerja yang bukan sahaja menggunakan tenaga fizikal, tetapi juga mental, pekerjaan mental guru ni bukan bermula waktu ia datang, dan bukan berakhir waktu ia pulang.. Jangan kerja sampai stress, nanti sakit mental kita yang susah..keluarga terabai..
Pergh, berfalsafah tinggi juga orang tua ni.. Betullah apa dia kata, kerja 24 jam, di rumah pun duduk memikirkan hal kerja lagi. Padahal keluarga anak-anak perlukan kita.
Sejak daripada itu aku belajar sesuatu, hidup bukan semata-mata untuk kerja. Kerja ni tidak pernah habis, anda yang perlu mengawalnya.
Kepada pentadbir, bahagikanlah tugas agar sama bebanannya. Yang tidak pandai boleh belajar, yang baru boleh dibimbing.
Guru mengajar murid belajar. Rezeki tidak pernah tersalah alamat, dia sudah ditentukan, bukan di tangan bos anda, tapi di bawah kuasa Allah yang maha Esa.