DSKP Pendidikan Islam Semakan KSSR 2017 Tahun 1
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Islam dibina bagi memenuhi keperluan Pendidikan Islam secara holistik, bersepadu dan berkembang serta bersifat autentik selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan Islam sekolah rendah memberi penekanan kepada konsep ilmu oleh Imam al-Ghazali. Ilmu dalam Pendidikan Islam merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai. Oleh itu, bagi memenuhi keperluan ilmu, kurikulum Pendidikan Islam dibangunkan merangkumi tujuh bidang iaitu al-Quran, Hadis, Akidah, Ibadah, Sirah, Adab, dan Jawi. Ilmu dari bidang-bidang tersebut yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai perlu disampaikan dengan berkesan melalui pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang lebih menarik. Kemahiran abad 21, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), dan kemahiran menaaakul turut dimasukkan secara eksplisit dalam dokumen kurikulum Pendidikan Islam agar modal insan yang dihasratkan mampu memenuhi keperluan masa kini.
DSKP SEMAKAN KSSR PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 1
Transformasi kurikulum yang dilaksanakan melalui KSSR mula dilaksanakan pada tahun 2011. Kurikulum Pendidikan Islam juga turut mengalami perubahan seiring dengan perubahan kurikulum arus perdana. Melalui kurikulum ini keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) amat dititikberatkan. Perubahan tingkah laku murid hasil daripada proses tersebut akan ditaksir dan dinilai. Manakala Pentaksiran dan penilaian dilaksanakan semasa dan selepas proses P&P berlangsung perlu direkod serta dilaporkan. Perkembangan murid akan dapat dilihat dan dilaporkan secara lebih holistik dan autentik, guru juga dapat membuat penambahbaikan pada proses pengajaran mereka. 
Melalui transformasi kurikulum, dokumen kurikulum turut disemak dan terhasilnya Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). DSKP Pendidikan Islam Semakan KSSR 2017 Tahun 1 merupakan satu dokumen kurikulum yang lengkap bagi setiap tahun persekolahan, mengandungi penerangan kurikulum, lajur standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi. 


DSKP Pendidikan Islam Semakan KSSR 2017 Tahun 1 diharapkan dapat membantu dan memandu guru untuk menyampaikan ilmu yang sahih dan melaksanakann proses P&P dengan berkesan serta dapat mengukur perkembangan murid secara lebih holistic dan autentik.