Peranan seni dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang bertamadun telah lama diakui dan diiktiraf oleh dunia. Seni merupakan manifestasi tamadun kehidupan sesebuah negara. Latihan dan galakan seni sama ada secara formal atau tidak perlu dilaksanakan secara teratur dan terancang.
Dimaklumkan bahawa tarikh permohonan murid ke Tingkatan Satu Sekolah Seni Malaysia Sesi 2019 akan mula dibuka pada:
Tarikh: 16 April 2018 – 15 September 2018.
Melalui latihan seni yang berteraskan pendidikan, modal insan yang berhemah dan bertamadun dapat dijelmakan. Namun begitu, pelaksanaan program seni yang berkualiti tidak dapat dijayakan dengan hanya membiarkan program tersebut berjalan sendirian di sekolah-sekolah sahaja. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan tanggungjawab oleh semua pihak yang berkaitan.
Atas kesedaran tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil langkah dengan membuat perancangan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta intipati di dalam Bab 23 Buku Rancangan Malaysia Kesembilan berkaitan dengan Memperkayakan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Perancangan ini diharapkan agar dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang lengkap, unggul dan prihatin terhadap seni. Misi dan hasrat murni KPM untuk mendaulatkan Pendidikan Kesenian di sekolah adalah selaras dengan misi dan visi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) iaitu ke arah melahirkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur dan beridentiti.
Walau bagaimanapun, KPM berpandangan usaha tersebut masih belum mencukupi untuk memperkasakan budaya dan identiti bangsa Malaysia. Lantaran KPM telah mengambil inisiatif menubuhkan Sekolah Seni Malaysia (SSeM) yang akan memberi peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni.
Apakah itu Sekolah Seni Malaysia
Sebuah institusi pendidikan formal satu sesi yang menyediakan kemudahan menggilap dan menggarap potensi dan bakat diri generasi murid untuk menceburi aktiviti kesenian dan kebudayaan tanah air secara aktif dan kreatif.
Falsafah Sekolah Seni
Suatu usaha membangunkan potensi individu secara seimbang dan bersepadu melalui pendidikan kesenian yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik. Usaha ini adalah bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa yang luhur dan beridentiti Malaysia.
Visi
Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan kebudayaan bagi melahirkan insan budayawan bertaraf dunia.
Misi
- Memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian dalam kalangan murid
- Menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti kesenian
- Mewujudkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan penggiat seni
Objektif
- Melahirkan murid yang seimbang dalam pencapaian akademik dan kesenian
- Melahirkan murid yang berilmu dan berketrampilan dalam bidang kesenian
- Menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang beridentiti di peringkat antarabangsa
- Melahirkan penggiat seni dan pengamal budaya yang bersahsiah tinggi
- Melahirkan individu yang berjiwa seni dan dapat memelihara budaya bangsa
Pengambilan pelajar hanyalah ke Tingkatan 1 sahaja dan ia terbuka kepada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Ia dilakukan secara atas talian melalui Sistem e-SSeM. Sistem ini diaktifkan mulai bulan Mei hingga September setiap tahun.
- Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online). Isi borang permohonan di sini ESSEM https://essem.moe.gov.my/
- Isi di bahagian LOGIN PEMOHON. Masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan. Jika anda baru pertama kali menggunakan sisitem ini, sila daftar kata laluan terlebih dahulu.
- Isi maklumat dalam borang selengkapnya.
Sesi Serlahan Seni
Sesi Serlahan Seni adalah proses uji bakat pemilihan pelajar ke SSeM yang dijalankan di seluruh negara. Ia dilaksanakan dalam bulan Oktober pada setiap tahun. Calon yang memohon akan diuji bakat mereka berdasarkan bidang kesenian yang dipohon iaitu muzik, tari, teater dan seni visual.
Syarat Permohonan
- Warganegara Malaysia
- Berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian (Muzik/ Tari/ Teater/ Seni Visual)
- Sihat tubuh badan
- Hanya permohonan secara online akan diproses.
Syarat Kemasukan
- Lulus semua mata pelajaran dalam UPSR sekurang-kurangnya 3B dalam UPSR
- Lulus dalam Sesi Serlahan Seni
- Bersetuju menerima kemasukan ke SSeM yang ditawarkan mengikut bidang yang ditetapkan
- Pelajar yang berjaya wajib tinggal di asrama dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan
- Mengemukakan rekod kesihatan pelajar
- Mengemukakan semua dokumen asal semasa temuduga
- Permohonan akan ditolak sekiranya calon memalsukan sebarang dokumen semasa temuduga.