Seorang guru wanita di sebuah Sekolah Kebangsaan di Puchong cedera disamun ketika sedang mengajar di dalam kelas, petang semalam.
Kejadian pada jam 5.20 petang itu berlaku ketika guru tersebut sedang duduk di mejanya, setelah memberi tugasan kepada murid-murid menyalin nota.
Suspek berpura-pura datang sebagai pelawat yang ingin bertanya lokasi kelas lain, sambil membawa sekeping kertas. Dia juga tidak membuka topi keledar dan memakai penutup muka.
Ketika sedang berlakon bertanya soalan, suspek telah menarik beg tangan mangsa yang berada di atas meja. Mangsa cuba menarik kembali namun direntap kuat oleh suspek menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami kecederaan.
Hasil siasatan awal polis suspek didapati telah masuk ke sekolah melalui pintu belakang yang terbuka dan tidak dikawal. Kedudukan kelas yang berada di hujung blok yang berhampiran menyebabkan kelas itu dijadikan sasaran.
Antara barang yang hilang adalah wang tunai RM100, Kad Pengenalan, Lesen Memandu, kad ATM, kunci rumah dan kunci kereta.
Berdasarkan kes ini, kita berharap semua guru sekolah lain juga berhati-hati. Biasanya di sekolah memang ada 2 atau 3 pintu masuk, namun ia perlu sentiasa ditutup setelah digunakan, terutamanya laluan pintu belakang.