Secara jujurnya, program galakan membaca dalam kalangan murid-murid di sekolah telah pun dilaksanakan semenjak tahun 1999 lagi. Ia adalah usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu. Program yang dimaksudkan adalah program NILAM. NILAM membawa maksud ‘ Nadi Ilmu Amalan Membaca ‘. Ia mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah yang melibatkan penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil 13/1998 : Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Matlamat dan objektif NILAM adalah untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid serta menggalakkan mereka agar terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca. Pelaksanaan program NILAM ini memerlukan penglibatan secara menyeluruh daripada warga sekolah sama ada murid-murid mahupun guru-guru.
Terdapat tiga komponen dalam program NILAM iaitu membaca dan merekod bahan bacaan, mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran. Komponen membaca dan merekod bahan bacaan adalah melibatkan murid sementara komponen mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab guru.
Semua sekolah perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM. Terdapat dua tahap pengiktirafan iaitu tahap JAUHARI dan RAKAN PEMBACA. Tahap pertama yang dikenali sebagai JAUHARI adalah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat yang mana ia menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka sama ada di sekolah rendah atau menengah. Mereka akan mendapat pengiktirafan gangsa, perak, emas atau NILAM berdasarkan jumlah bacaan.
Manakala tahap RAKAN PEMBACA (RP) pula mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya membaca. Sebagai contoh, aktiviti bercerita , bicara buku dan ulasan buku. Aktiviti-aktiviti seperti ini akan menyumbang markah kepada murid yang berada pada tahap RAKAN PEMBACA. Tahap ini juga akan memberi pengiktirafan gangsa, perak, emas atau NILAM.
Program NILAM yang ditambahbaik ini mula dijalankan secara sepenuhnya mulai sesi persekolahan tahun 2018. Ia merupakan kesinambungan kepada program NILAM sebelum ini. Walau bagaimanapun, NILAM yang ditambahbaik ini lebih mementingkan kualiti pembacaan berbanding kualiti bahan yang dibaca. Ia merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang mana ia berfokuskan kepada aspek kualiti selepas pembacaan.
Objektif NILAM yang ditambahbaik adalah untuk melestarikan budaya pembacaan yang berkualiti sepanjang hayat dalam kalangan murid-murid, menyediakan murid-murid yang dapat menjawab soalan yang menguji keupayaan menaakul, membuat refleksi dan menilai melalui aktiviti pengayaan. Secara umumnya, ia menggalakkan penglibatan semua warga sekolah/ masyarakat/ komuniti setempat/ pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan dalam pelaksanaan program serta pembinaan tabiat membaca dalam kalangan murid-murid.
Pelaksanaan program NILAM yang ditambaik ini lebih menyeluruh dan melibatkan murid-murid seawal pra sekolah di sekolah rendah hingga tingkatan lima, pra diploma, pendidikan khas serta kolej vokasional di sekolah menengah. Bahan-bahan bacaan juga pelbagai dan meluas serta tidak terikat kepada buku berbentuk fizikal sahaja.
Cara Perekodan Nilam
Perekodan nilam yang ditambah baik kini berbeza sedikit dari sebelumnya, panduan untuk mengiranya anda boleh rujuk pada nota berikut: Cara perekodan nilam
BIL | KUMPULAN PEMBACA | JUMLAH MUKA SURAT | MATA GANJARAN | KOD | |
1 | SEKOLAH RENDAH | MIN | MAX | ||
21 | 40 | 10 | R1.10 | ||
41 | 60 | 20 | R1.20 | ||
61 | 80 | 30 | R1.30 | ||
81 | 100 | 40 | R1.40 | ||
101 | Lebih daripada 101 | 50 | R1.50 |
Senarai Mata Ganjaran Bagi Bahan Bacaan Sekolah Rendah
BIL | KUMPULAN PEMBACA | JUMLAH MUKA SURAT | MATA GANJARAN | KOD | |
MIN | MAX | ||||
1 | Sekolah Menengah(Peralihan – Pra Diploma) | 51 | 80 | 10 | M1.10 |
81 | 110 | 20 | M1.20 | ||
111 | 140 | 30 | M1.30 | ||
141 | 170 | 40 | M1.40 | ||
171 | Lebih daripada 171 | 50 | M1.50 |
Senarai Mata Ganjaran Bagi Bahan Bacaan Sekolah Menengah
Murid mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan. Mereka boleh memilih sama ada bahan bacaan buku ataupun bahan bukan buku. Bahan bacaan buku terdiri daripada buku berbentuk fizikal dan juga buku digital/ e-book. Sementara bahan bukan buku pula adalah bahan bercetak (katalog berilmiah, manual pengguna, buku skrap, jurnal, brosur berilmiah, majalah, artikel/rencana, komik, peta, cerpen, carta, poster, buletin) dan bahan bukan cetak (video klip berinformasi, CD perisian pendidikan, kit pembelajaran, e-bahan pembelajaran).
Jumlah bacaan buku murid masih dikekalkan seperti mana yang terdapat dalam NILAM terdahulu. Akan tetapi, ia telah ditambahbaik dari sudut kualitatif melalui kuantiti buku yang dibaca. Pengukuran kualiti buku diukur melalui jumlah muka surat yang dibaca. Semakin banyak muka surat yang dibaca, semakin banyak mata ganjaran yang akan diberikan. Sekolah juga boleh menghasilkan aktiviti yang lebih berkesan dan inovatif bagi merangsang minat murid dalam pembacaan.
Sementara itu, rekod pengiktirafan pencapaian NILAM juga sedikit berbeza dalam program NILAM yang ditambahbaik ini. Tiada lagi istilah gangsa, perak, emas atau nilam dalam mengiktiraf pencapaian murid dalam pembacaan. Pengiktirafan tersebut telah digantikan dengan nilaian satu bintang hingga lima bintang sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Penskoran ini juga turut dinilai dalam aspek penglibatan kokurikulum iaitu dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK).
Program NILAM yang dicetuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini merupakan satu platform untuk murid-murid menanamkan tabiat suka membaca. Di samping itu, ia juga adalah adunan usaha yang perlu digembleng oleh warga sekolah dan masyarakat dalam merealisasikan niat murni kerajaan tersebut. Pendekatan, peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membudayakan tabiat membaca semakin terserlah apabila program NILAM yang ditambahbaik dilaksanakan.
Kepelbagaian jenis bahan bacaan yang disokong dengan pembinaan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan diharapkan dapat melestarikan budaya membaca dalam kalangan murid-murid. Semoga masyarakat Malaysia akan terus membudayakan tabiat membaca dan negara kita akan melahirkan lebih ramai cendekiawan yang berdaya saing dan berfikir di luar kotak.
by: Khairawati Suraya Binti Kamaruddin