Drama TV3 di bawah slot Akasia sudah tidak asing lagi bagi seluruh rakyat Malaysia. Slot ini sangat diminati ramai terutama golongan remaja yang baru nak ‘up’ termasuklah pelajar sekolah. Tahukah anda Slot ini sangat mempengaruhi minda pelajar. Kebanyakan kisah yang dihidangkan dalam slot ini berkisar tentang percintaan, hasad dengki orang ke-3, kehidupan orang kaya yang tak perlu bekerja keras, kehidupan golongan bawahan yang sering ditindas, keegoan seorang lelaki yang berjaya ditundukkan oleh seorang gadis, membunuh demi mendapatkan apa yang dihajati, dan banyak lagi.
Drama seperti ini, yang ditayangkan pada pukul 6.58 petang menjadi ‘check list’ utama dalam jadual harian pelajar. Kebiasannya, dari 7.00 pagi hingga 5.00 petang, mereka akan berada di sekolah. suka atau tidak, aktiviti mereka sudah ditetapkan oleh pihak sekolah dan mereka sentiasan berada di bawah pemantauan guru yang terlibat. Apabila pulang ke rumah, mereka merehatkan minda dengan santapan mata yang penuh dengan kisah-kisah romantik percintaan remaja, dengan aksi dan perbualan yang menggetarkan jiwa. Mereka memang sukakan kisah-kisah seperti ini. Ia seolah-olah menjadi panduan buat mereka untuk menjadi kekasih terbaik di dunia. Semuanya nampak indah dan mudah.
Sangat menyedihkan apabila kebanyakan pelajar kita merasa menjadi cantik untuk diminati ramai pelajar senior adalah jauh lebih penting dari mendapatkan keputusan terbaik untuk peperiksaan PT3. Lebih membimbangkan apabila mereka sudah tetapkan ‘mind set’ tak perlu belajar pandai-pandai. Yang mereka perlu lakukan ialah menjaga penampilan diri dan berusaha untuk tampil menarik dan cantik untuk mendapatkan perhatian lelaki. Bedak ‘compact’ dan pelembap bibir antara barang panas yang dijumpai setiap kali ‘spotcheck’ mengejut dijalankan di sekolah.
Bagi pelajar ‘kelas belakang’ pula, lengkap peralatan ‘makeup’ dibawa ke sekolah. Bedak, maskara, pemerah pipi, lipstick, celak, dan pembayang mata menggantikan ruang buku dan peralatan sekolah yang sepatutnya berada di dalam beg. Pantang ada waktu senggang, mereka akan berbondong-bondong ke tandas untuk memastikan wajah mereka masih kekal menarik. Siap lukis kening! Mana hilangnya perasaan malu dan perasaan bersalah mereka? Ia tidak hilang. Sebenarnya, perasaaan itu telah tiada.
Masih ingat watak Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku? Nama sebenar beliau ialah Muhammad Ariff. Beliau berjaya mencuri tumpuan satu Malaysia dengan bakatnya yang luar biasa walaupun hakikatnya beliau adalah penghidap disleksia. Kita begitu kagum dengan kesungguhan beliau sehingga beliau mampu membawa watak tersebut dengan sangat baik. Beliau berjaya membuktikan bahawa setiap orang punya kelebihan tersendiri. Bukan hanya fokus pada kekurangan sehingga kita merasa keterbatasan dalam menentukan masa depan.
Tetapi sayangnya hal ini tidak berlaku kepada pelajar-pelajar kita. Mereka membuat kesimpulan, apabila lemah dalam pelajaran, mereka hanya perlu berusaha untuk menjadi pelakon. Terkenal dan banyak duit tanpa perlu belajar tinggi-tinggi. Bila disoal tetang cita-cita, pantas sahaja mereka menjawab ingin menjadi pelakon. Ya, inilah jawapan yang keluar dari mulut pelajar lembam yang merasa mereka tidak punya masa hadapan yang cerah dalam bidang akademik. Terlalu banyak bidang-bidang lain yang boleh mereka terokai tetapi dek manisnya drama yang mereka tonton, minda mereka tidak berkembang. Sadis bukan?
Bukan itu sahaja, ada juga pelajar perempuan yang sudah memasang niat untuk berkahwin dengan lelaki tua yang kaya seperti drama Cinta Masam Manis lakonan Izara Aisyah dan Zamarul Hisyam. Terjamin masa depan, tak perlu bersusah payah berfikir soal kerja untuk menampung hidup, tak perlu berhempas pulas belajar. Mereka Cuma perlu berpenampilan menarik. Datang sekolah hanya kerana paksaan ibu bapa. Tugasan yang diberikan oleh guru, mereka siapkan mengikut ‘mood.’ mereka tidak bawa jiwa untuk belajar. Datang sekolah hanya sebagai syarat untuk melepaskan diri dari tugasan lain di rumah.
Tidaklah ingin menyalahkan pelajar sepenuhnya kerana mereka masih mentah dan belum tahu banyak pancaroba hidup. Tetapi sogokan drama yang menunjukkan tugas seorang kapten hanya duduk bersenang-senang di pejabat, tugas seorang doktor yang sibuk mengintai jejaka idaman, tugas pemandu kapal terbang yang hanya sekadar seret beg ke lapangan terbang, bukankah ini semua terlalu mudah? Mana realiti hidup yang kita mahu terapkan pada pelajar kita? Atau adakah drama itu sendiri yang semakin hilang kualitinya?
Pengaruh slot Akasia ini semakin memburuk apabila ramai pelajar yang mengaku solat maghrib terabai dek kerana jatuh cinta dengan watak yang dimainkan oleh pelakon kesukaan mereka. Sayang sekali jika terlepas setiap babak yang melibatkan hero/heroin yang diminati. Sehingga tahap buang air kecil pun kalau boleh ditahan, mereka akan tahan! Alangkah bagusnya jika sikap ini yang dietrapkan dalam pelajaran bukannya pada drama ciptaan manusia yang tidak memberi faedah pada jiwa mereka.
Inilah senario sebenar yang sedang berlaku pada pelajar-pelajar kita terutamanya pelajar luar bandar yang merasa hanya drama television sahaja hiburan yang mereka ada. Mereka perlukan drama-drama yang lebih berkualiti dan lebih realistik. Bukan hanya untuk pembangunan jiwa mereka tetapi juga untuk pembangunan mental yang lebih sihat.
Itulah sebahagian kesan drama tv cerita melayu ke atas masyarakat kita, khususnya buat pelajar yang mudah dipengaruhi pemikirannya. Harapan kita para pelajar dapat menilai dan bijak menggunakan masa terluang dengan perkara yang lebih bermanfaat dan berfaedah.
Penulis Pendidik2u:
Puan Sri A’jilah Binti Mohd Samsir