KUALA LUMPUR – Kegagalan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seharusnya ditujukan kepada Kementerian Pendidikan.
Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, kerajaan tidak seharusnya menunding jari kepada para pendidik kerana kelemahan sebenar terletak kepada sistem dan dasar pendidikan yang tidak ditambah baik.
“Saya mahu tanya, adakah guru yang mahu memahami apa itu penilaian KBAT? Apakah mereka telah mendapat latihan dan pemahaman secukupnya sebelum ia dilaksanakan?
“Sebab jika guru-guru pun tidak diberi latihan untuk berfikir aras tinggi, bagaimana mereka mahu menyampaikan dan memastikan anak murid menjayakan penilaian KBAT?” soalnya ketika dalam temubual bersama Sinar Online, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan sebelum ini meletakkan kelemahan guru sebagai punca 60 peratus sekolah berhadapan masalah KBAT yang mula diperkenalkan pada tahun 2013.
Kamalanathan berkata, guru-guru kini sedang dilatih dalam proses lebih memahami penilaian KBAT.
Terdapat beberapa inisiatif yang Kementerian Pelajaran Malaysia lakukan bagi memastikan KBAT dapat difahami semua.
Sementara itu, kata Manivannan lagi, kerajaan sepatutnya merombak sepenuhnya sistem pendidikan yang ada bagi memudahkan sistem pembelajaran di negara ini.
Ini kerana menurutnya, kekerapan menteri mengubah tambah dasar pendidikan yang ada menyebabkan guru dan pelajar ketinggalan dalam menguasai subjek dasar baharu.
“Yang menjadi mangsa adalah pelajar dan murid. Mangsa kedua yang terkesan dengan pelaksanaan penilaian KBAT pula adalah golongan guru.
“Sepatutnya sistem pendidikan kita diubah terus. Kita juga perlu wujudkan dasar baharu di mana ia tidak boleh diubah selama 20 tahun,” katanya lagi.
kesian sangat tengok cikgu-cikgu struggle. Luluh hati bila boss sendiri berkata begini pula