PADANG TERAP: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan kelemahan guru sebagai punca kegagalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata, kenyataan menyalahkan guru yang didakwa dikeluarkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan itu sebenarnya disalah tafsir segelintir media.

“Tidak timbul isu kegagalan dari guru…KBAT baru berusia tiga tahun di mana guru dilatih dari masa ke semasa dalam transformasi pendidikan.

“Berdasarkan kenyataan menyeluruh Kamalanathan di Dewan Rakyat itu, beliau bukan menyebut kegagalan dari guru,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini yang menyebut kelemahan guru sebagai punca 60 peratus sekolah hadapi masalah KBAT.

Susulan daripada laporan berita yang didakwa disalah tafsir itu, beberapa pihak mula menyerang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengatakan kementerian sebagai punca kegagalan KBAT.

Mahdzir berkata, semua pihak perlu memahami KBAT sepenuhnya dan tidak harus menyalahkan mana-mana pihak.

“Masyarakat, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya perlu memahami KBAT ini.

“Menyalahkan guru itu tidak betul.. kemudian kenyataan Timbalan Menteri pula disalah tafsir. Jadi hari ini saya ingin membetulkannya semula,” katanya.

Mahdzir sebelum itu hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Ahli Parlimen Padang Terap.

Dalam perlawanan berkenaan, pasukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka mengalahkan PDM Lubok Merbau dengan keputusan 2-1.

Sumber: Berita Harian

Manakala berikut kenyataan di status Fabcebook Menteri Pendidikan

Penjelasan mengenai isu KBAT.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau KBAT merupakan salah satu daripada kaedah berfikir yang telah dimasukkan ke dalam pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan generasi abad ke-21.

Pelaksanaan KBAT ini diletakkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Aspirasi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahukan anjakan dalam transformasi sistem pendidikan negara dalam soal pemikiran kanak-kanak. Maka, penerapan KBAT adalah usaha memperkembangkan lagi potensi setiap individu khususnya para pelajar.

KBAT tidak hanya berfokus pada pelajar tetapi ia melibatkan proses yang menyeluruh termasuk latihan bakal guru di Institut Pendidikan Guru dan di universiti yang akan mengaplikasikan KBAT.

Saya menegaskan bahawa, KBAT tidak boleh dikuasai dalam masa satu hari tetapi ia adalah proses yang panjang dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah. Yang pentingnya, guru-guru dilatih dari semasa ke semasa demi memperkasakan KBAT dalam PdP dan tidak timbul isu kegagalan KBAT itu berpunca daripada kurang kefahaman daripada guru.

 

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u
SILA KONGSIKAN KEPADA RAKAN-RAKAN DENGAN MENEKAN BUTANG DI BAWAH: