PUTRAJAYA: Hukuman buang sekolah bukan penyelesaian yang berkesan dalam menangani gejala sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata hukuman itu seolah-olah menafikan hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan asas seperti kanak-kanak lain.

Katanya, langkah itu juga memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana anak-anak itu terabai, melepak dan terbabit dalam anasir tidak sihat.

Beliau berkata, kementeriannya mencadangkan penyelesaian dengan menempatkan pelajar bermasalah dalam kelas pemulihan dan mereka diberi bimbingan oleh pakar atau guru kaunseling.

Rohani berkata, cadangan itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan dan Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


“Melihat kepada situasi hari ini, semua kementerian juga sekarang diarah untuk mengadakan program intervensi bagi mengatasi masalah sosial,” katanya.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, langkah mengekalkan pelajar bermasalah dalam sistem pendidikan dapat mencegah remaja itu daripada didekati unsur negatif dalam masyarakat.

“Jadi mereka tidak terabai apabila berada di luar kawasan sekolah, malah guru kaunseling memainkan peranan besar untuk membantu pelajar ini menangani masalah yang dihadapi.

“Itulah tugas yang perlu dilakukan oleh guru kaunseling dalam membimbing dan membawa mereka kembali ke sistem persekolahan,” katanya.

Berita Harian