Kesihatan yang baik bukan hanya dari segi fizikal sahaja, bahkan kesihatan dalaman dan mental juga perlu diperiksa agar kita dapat memastikan kita benar-benar sihat secara keseluruhannya.
Sebagai Penjawat Awam, guru khasnya dinasihat agar membuat pemeriksaan secara berkala, perkara ini turut ditekankan sendiri oleh Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir Khalid dalam status Facebooknya.
Berdasarkan nasihat dan saranan beliau, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah boleh bekerjasama dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara beramai-ramai tanpa perlu melibatkan sebarang kos.
Maklumlah, guru-guru kalau nak ke Klinik Kesihatan akan mengambil masa yang panjang, mungkin perlu mohon Cuti Rehat Khas. Yang berkemampuan pula boleh pergi ke Hospital Swasta,
Guru khasnya memerlukan kesihatan fizikal dan mental yang baik, jika fizikal tidak sihat mungkin tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.
Jika mental pula tidak sihat, maka ia juga boleh menimbulkan masalah lain pula. Kerana guru merupakan pekerjaan yang sentiasa memerlukan interaksi dan komunikasi sesama manusia.
Apabila fizikal dan mental sihat barulah dapat melaksanakan tugas dengan baik, walaubagaimanapun tetap perlu mengawal emosi dan tahap kesabaran.
Tidak dinafikan guru mempunyai banyak kerja, sehingga akan menyebabkan mereka stres. Boleh dikatakan semua orang akan mengalami stres, cuma yang membezakannya tahap dan bagaimana menguruskannya.
Kelmarin tular video seorang guru mengamuk semasa mesyuarat guru. Guru tersebut kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sementara siasatan dijalankan mencari punca sebenar mengapa beliau bertindak sedemikian.
Sekiranya benar faktor kesihatan, kita juga perlu kaji adakah faktor kerja yang menjadi puncanya.
Keadaan suasana kerja yang tertekan dan bebanan kerja yang banyak akan menyebabkan gangguan emosi.
Selain itu kita juga perlu bijak menguruskan hal kerja dan hal keluarga. Apabila masalah kerja dibawa ke rumah suami isteri dan anak-anak akan menjadi mangsa.
Kita juga tidak nafikan bahawa kerja-kerja sekolah memang terpaksa dibawa balik, tidak sempat untuk selesaikan semuanya di sekolah.
Tahniah diucapkan kepada semua guru yang bertungkus lumus berusaha untuk memastikan keperluan anak didiknya terjaga, berkorban tenaga dan wang ringgit untuk mereka terutamanya yang menjadi Guru Kelas.
Walaubagaimanapun, pastikan kesihatan kita terjaga, buatlah pemeriksaan sekurang-kurangnya 3 atau 4 tahun sekali, semoga kita terus menjadi warga pendidik yang berjaya di dunia dan akhirat.