PADANG TERAP: Guru baharu diingatkan supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya ada antara mereka ditempatkan di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sebaliknya guru terbabit perlu memiliki jiwa yang lebih kental untuk menghargai peluang diberikan dengan melaksanakan tugas yang dipikul sebaik mungkin, tanpa menjadikan lokasi penempatan sebagai halangan.
Beliau mengakui ada dalam kalangan guru baharu yang terlalu ‘manja’ sehingga cenderung memohon ditukar ke lokasi lain termasuklah ke negeri kelahiran sendiri walaupun selepas setahun ditempatkan, namun ada juga yang menikmati penempatan terbabit.
“Ada guru yang duduk lama (di Sabah dan Sarawak) sampai tak mahu nak balik (ke negeri asal), ada yang sampai tujuh atau lapan tahun yang saya sendiri jumpa dan mereka mengakui menikmati hidup sebaiknya di sana.
“Bagi guru baharu, saya minta kalau boleh janganlah duduk setahun dah nak mohon balik (kampung), tunggulah sampai sah jawatan dahulu atau sekurang-kurangnya tiga tahun, janganlah menangis dulu,” katanya ketika ditemui sempena Program Ziarah Ramadan di Kampung Padang Bakong, dekat Naka, di sini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kementerian Pendidikan meningkatkan kelulusan permohonan pertukaran guru termasuk guru duka lara sekurang-kurangnya 25 peratus setiap tahun.
Mengenai pertukaran guru duka lara, Mahdzir berkata kelulusan permohonan bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan pihak Kementerian Pendidikan menyediakan guru ganti untuk mengisi kekosongan ditinggalkan guru yang ditukar itu.
“Masalah sekarang ialah bagi menyediakan guru untuk ganti kerana kita kena tengok dalam ‘simpanan’ kita iaitu guru yang keluar dari IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) dan universiti, berapa ramai yang kita ada sebab ia mesti seimbang.
“Kita ambil contoh di Sabah katakanlah ada 280 guru dalam pelbagai bidang minta tukar, jadi kita nak kena siapkan (guru ganti) yang sama dengan jumlah itu, apa pun insya Allah bagi yang memohon pada 2017, kita akan cuba bantu untuk dua perpindahan tahun ini iaitu pada Oktober dan Disember,” katanya.
Terdahulu pada Program Ziarah Ramadan, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap mengunjungi lima kediaman di sekitar daerah ini untuk meninjau keadaan lima penduduk kurang upaya, sebelum menyampaikan sumbangan wang tunai bersama barangan keperluan bagi meringankan beban.