Home Artikel 10 Jenis Peneguhan Positif Yang Murid Suka

10 Jenis Peneguhan Positif Yang Murid Suka

19
0

Perkara yang paling penting dalam proses pembelajaran ialah motivasi. Jika murid tiada motivasi, walau hebat macam mana sekalipun seorang guru mengajar, belum tentu mendatangkan hasil yang sepatutnya. Peneguhan positif merupakan salah satu cara untuk membantu murid sentiasa bermotivasi dalam belajar. Salah satu dari jenis peneguhan positif ialah ganjaran, yang mana paling banyak digunakan oleh guru di sekolah. Sememangnya ganjaran menjadi motivasi terbesar dalam hidup sesiapa saja apatah lagi bagi murid-murid. Hatta Allah swt sendiri memotivasikan hamba-hamba-Nya dengan ganjaran syurga bagi mereka yang melakukan kebaikan.

Murid yang menerima ganjaran pasti akan sentiasa bermotivasi untuk mengekalkan kejayaan mereka atau berusaha untuk berjaya. Selain itu, kesannya juga dapat dilihat pada rakan sekelas mereka yang lain. Rakan mereka juga akan turut berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan ganjaran yang disediakan.

Peneguhan positif

Sebagai seorang guru, kita harus kreatif dalam menyediakan ganjaran untuk murid-murid kita. Di sini disenaraikan 10 peneguhan positif yang boleh kita berikan kepada anak murid kita.

Peneguhan Positif Yang Murid Suka

1. Carta Penghargaan (Reward Chart)

Carta penghargaan merupakan satu kaedah peneguhan positif yang mampu mempengaruhi murid seiring dengan pendidikan abad ke-21, di mana satu papan penghargaan akan disediakan di dalam kelas. Setiap kali ada murid yang berjaya melakukan sesuatu yang membolehkan mereka mendapat ganjaran satu penanda akan diletakkan di ruangan nama mereka. Biasanya guru akan menampal sticker bintang atau bulat sahaja, namun untuk lebih kreatif lagi guru-guru juga boleh tampal sticker yang diminati murid, kalua diperingkat sekolah rendah boleh letak sticker kartun kegemaran mereka, seperti Boboiboy, Ben 10, Robocar Poli, Super Wing atau mana-mana yang sesuai dengan tahap mereka.

2. Pujian

Guru boleh juga memberikan pujian kepada murid apabila mereka melakukan perbuatan yang baik atau apabila mereka siapkan sesuatu tugasan. Untuk ganjaran jenis ini fokuskan pada kebaikan yang murid lakukan. Pujian boleh dilakukan samada secara sendirian ataupun yang lebih baik adalah secara terang-terangan atau di depan rakan yang lain. Melalui pujian secara tidak langsung akan menyebabkan mereka rasa dihargai. Kesan pujian ini amat besar pengaruhnya dalam sesi pembelajaran. Bahkan, murid yang sebelum ini ‘malas’ jika kita beri pujian seperti ‘Tak sangka awak sebenarnya murid bijak, cikgu suka orang yang suka belajar’, ‘wah, hebat, awak boleh jadi contoh kepada murid lain’, ayat ini nampak simple tetapi sebenarnya mempengaruhi mereka.

3. Nametag/button batch

Guru juga boleh memberikan ganjaran kepada murid dalam bentuk nametag atau button badge. Button badge dalam bahasa melayu adalah lencana butang. Komponennya terdiri daripada logam dibahagian hadapan dan plastik di bahagian belakang dengan di sertakan dengan pin. Lencana butang ini boleh dihias dengan sesuatu yang menarik yang boleh menyebabkan murid yang memakainya dipandang hebat oleh murid lain. Guru mungkin boleh menggunakan watak animasi atau watak lain yang diminati terutamanya bagi murid yang lemah. Dengan menggunakan watak animasi ini menyebabkan mereka merasakan lencana butang yang mereka perolehi tadi menjadikan mereka seorang yang hebat dan menaikkan motivasi dalam diri mereka. Untuk murid yang agak menguasai dalam pelajaran guru mungkin boleh menggunakan watak sebenar dalam dunia realiti seperti tokoh dunia yang mereka kagumi. Selain daripada gambar, anda juga boleh telak kata-kata seperti, ‘Saya Murid Berdisiplin’, ‘Saya Murid Khatam Al-Quran’, ‘Saya Murid Yang Kemas’. Percayalah, bila murid ini memakai button ni, mereka sangat menjaga akhlak mereka, kerana nak terus kekal ada button ni, sekaligus membuatkan orang lain pun nak dapatkannya.

4. Hasil kerja dipamerkan

Hasil kerja yang dihasilkan dengan baik dan kemas boleh dijadikan contoh, guru boleh pamerkan hasil kerja tersebut untuk tontonan murid lain. Ganjaran seperti ini akan meningkatkan keyakinan dalam diri murid tersebut dan akan menjadi dorongan kepada murid lain untuk melakukan seperti rakannya. Papan pameran hasil kerja ini boleh diletakkan di satu sudut di dalam kelas ataupun suatu sudut di laluan utama murid di sekolah. Selain itu, tidak semestinya hasil kerja murid yang cemerlang saja dipamerkan. Hasil kerja murid yang lemah tetapi ada peningkatan sangat digalakkan untuk dipamerkan, kerana kajian menunjukkan murid yang lemah atau slow learner ini sebenarnya kurang motivasi, apabila kita hargai sesuatu hasil kerja mereka, betapa bangganya mereka.

5. Sijil

Sijil juga adalah satu bentuk peneguhan positif yang banyak digunakan sejak dari zaman dahulu, Ganjaran ini lebih diktiraf bukan saja oleh murid malah oleh ibubapa murid kerana sijil ini menjadikan bukti yang murid tersebut telah menerima ganjaran. Sijil boleh disimpan dalam jangka masa yang lama dan murid akan termotivasi setiap kali melihatnya. Sijil juga menjadi bukti yang kukuh tentang pencapaian seseorang murid.

6. Piala

Piala juga sama fungsinya dengan sijil. Ia bersifat tahan lama untuk memotivasikan murid. Piala biasanya diberikan untuk kejayaan yang besar seperti berjaya menjadi pelajar terbaik atau olahraga terbaik sekolah. Piala adalah simbol kejayaan dan kemegahan. Apabila mereka memperolehi piala hasil kejayaan mereka ia seolah-olah menggambarkan mereka memperolehi kejayaan yang besar di dalam kehidupan mereka. Ini akan menaikkan motivasi dalaman mereka.

7. Tepukan

Selain itu, tepukan juga boleh menjadi peneguhan yang positif kepada murid. Setiap kali murid melakukan sesuatu yang baik dalam pelajaran atau berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan, guru boleh meminta murid lain untuk memberikan tepukan. Setiap kali murid berjaya menjawab soalan kita digalakkan untuk suruh murid tepuk, betapa gembiranya mereka apabila kawan-kawan turut sama memujinya. Ia akan jadi lebih menarik jika guru mencipta satu tepukan berirama untuk ganjaran yang berbeza.

8. Hadiah

Hadiah yang diberikan tidak semestinya mempunyai harga yang mahal. Hadiah yang diberikan oleh seorang guru walaupun hanya sebiji gula-gula memberi erti yang besar bagi seorang murid. Hadiah yang berbeza boleh diberikan untuk ganjaran yang berbeza. Guru juga boleh membeli bahan-bahan dan meminta murid-murid menyediakan hadiah mengikut kreativiti mereka. Hadiah tersebut dikumpulkan dan akan diberikan kepada yang layak. Cara ini lebih sesuai kerana dalam pendidikan abad ke-21 guru hanya pemudahcara bagi murid, penglibatan murid tinggi dalam proses pembelajaran.

9. Dilantik menjadi ketua

Peneguhan ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi kepada seorang murid. Apabila dilantik sebagai ketua kelas secara tidak langsung ia akan menjadikan murid tersebut menjadi seorang yang bertanggungjawab dan merasa sentiasa bersemangat untuk menjadi contoh yang baik. Terdapat juga di mana seorang guru melantik ketua kelas 4 kali setahun atau setiap bulan. Perlantikan ini adalah berdasarkan kecemerlangan yang di capai oleh seseorang murid dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dengan cara ini setiap murid akan berusaha yang terbaik untuk mendapatkan jawatan tersebut. Walaubagaimanapun ia mengikut kesesuaian murid di kelas anda. Menjadikan mereka sebagai ketua kumpulan pun sudah membuatkan mereka berbangga sebenarnya.

10. Selfie dengan cikgu

Cara ini amat mendapat sambutan. Ini adalah kerana selfie atau swafoto merupakan peluang yang ditunggu oleh murid. Bila seseorang murid berjaya menjawab soalan atau menyiapkan tugasan yang diberikan selengkapnya mereka akan diberi peluang untuk berselfie dengan guru. Ini akan menyebabkan murid-murid berlumba untuk melakukan yang terbaik tugasan yang diberikan kepada mereka. Tapi jangan selalu sangat, nanti Guru Besar tengok, cikgu main handphone pula dalam kelas haha..

Kesimpulannya, terdapat banyak peneguhan positif yang boleh diamalkan oleh para guru dalam membantu murid untuk meningkatkan motivasi. Di atas ini hanyalah contoh-contoh sahaja, mungkin anda ada yang lebih menarik lagi. Apapun kita jangan sesekali meminggirkan murid-murid yang lemah, merekalah yang sangat memerlukan peneguhan positif ini. Semoga usaha yang kita lakukan ini mampu untuk meningkatkan lagi motivasi murid-murid dan sekaligus menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran kita lebih menyeronokkan dan berkesan.

Penulis Pendidik2u: Noraini Binti Ismail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here