Membeli barang di atas talian (online) merupakan salah satu kemudahan yang ada pada zaman teknologi yang serba canggih ini, kewujudan online store seperti Lazada, Shoppee, 11Street dan sebagainya merancakkan lagi kemeriahan membeli belah tanpa perlu beratur panjang mencari barang di pasaraya atau pusat membeli belah.
Pembeli hanya perlu menggunakan Handphone atau Laptop sahaja untuk membuat pembelian dan hanya menunggu dalam 2 atau 3 hari saja barang akan sampai kepada tuannya melalui perkhidmatan penghantaran seperti Pos Laju, Gdex, Skynet dan sebagainya.
Memandangkan guru-guru juga tidak terlepas dari fenomena ini, mereka juga turut mengambil peluang kemudahan ini untuk membeli secara atas talian. Namun begitu penghantaran barang biasanya akan dibuat pada waktu bekerja, oleh itu para guru terpaksa menggunakan alamat sekolah sebagai alamat penghantaran barang.
Jika menggunakan alamat rumah, akan berlaku masalah pula kerana apabila tiada orang di rumah, posmen akan meninggalkan nota pesanan supaya mengambil barang di pejabat pos.
Oleh yang demikian, menggunakan alamat pejabat (sekolah) adalah jalan terbaik. Walau bagaimanapun perkara ini kurang disenangi oleh segelintir Guru Besar, kerana dikatakan pejabat hanya boleh untuk urusan rasmi sahaja, tidak boleh untuk barang peribadi.
Antara sebab-sebab tidak dibenarkan adalah:
- Barang yang sampai terlalu banyak dan tiada ruang untuk diletakkan di pejabat.
- Kerani terpaksa melayan posmen untuk menandatangani akuan penerimaan.
- Berlaku kes barang dah sampai, tetapi hilang atau tidak dapat dikesan.
Itu sebahagian daripada sebab-sebab tidak dibenarkan menggunakan alamat sekolah, dan mungkin ada lagi sebab-sebab lain.
Perkara ini juga sebenarnya berlaku di pejabat-pejabat kerajaan lain, bahkan sebelum ini juga pernah tular, apabila sebuah Hospital terkenal, kaunter di bawahnya tidak mahu menerima barang yang dihantar oleh pihak pos laju kerana barang peribadi. Hal itu menyebabkan Posmen terpaksa menelefon setiap penerima untuk mengambil barang mereka di bawah, dan menandatangani akuan penerimaan.
Namun begitu tardapat juga sekolah-sekolah yang memberi kelonggaran kepada guru-guru untuk menggunakan alamat pejabat, kerana faham terhadap masalah tersebut. Antara langkah yang dibuat adalah menyediakan tempat khas untuk meletakkan barang, dan guru-guru perlu mengambilnya segera untuk mengelakkan ia hilang atau tersalah ambil.
Selain itu, ada juga sekolah yang hanya membenarkan barang di letakkan di pondok jaga sahaja, posmen tidak perlu naik sehingga ke pejabat untuk menyerahkan barang. Namun hendaklah dipastikan pengawal keselamatan boleh menjaganya dengan baik.
Apapun, kita berharap pihak sekolah membenarkan guru-guru untuk menggunakan alamat sekolah, kerana sekolah juga merupakan tempat bekerja bersama bukan milik individu. Masalah untuk menandatangani urusan penerimaan itu hanyalah masalah kecil yang boleh diatasi dengan berhemah.
Logiknya cikgu akan berada di sekolah sehingga 5.00 ptg.. Mcm mana Nak ambik barang di rumah? Mcm mana pula jika jarak hampir 60-80km..