DSKP Kssr Semakan Matematik diolah dan disusun semula dengan mengambil kira kesinambungan yang berterusan ke peringkat seterusnya. Langkah yang diambil adalah selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam Matematik kepada murid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai.

Penandaarasan kurikulum Matematik telah dijalankan dengan negara yang berpencapaian tinggi dalam pentaksiran peringkat antarabangsa bagi memastikan kurikulum matematik di Malaysia relevan dan setanding dengan negara lain di dunia.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Matematik merupakan mata pelajaran teras yang harus dilalui oleh semua murid yang mengikuti Sistem Pendidikan Kebangsaan. Setiap murid di Malaysia berpeluang melalui sekurang-kurangnya enam tahun pendidikan asas di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

KSSR Matematik bermatlamat membentuk individu yang berfikrah matematik iaitu membina pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan, memahami idea matematik yang mudah dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, berlandaskan sikap dan nilai agar berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian, selaras dengan perkembangan sains dan teknologi dan cabaran abad ke-21.

KSSR Matematik bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

  1. Membentuk fikrah matematik.
  2. Membentuk pemahaman dan mengaplikasi konsep dan kemahiran matematik dalam pelbagai konteks.
  3. Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan dengan Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Algebra serta Statistik dan Kebarangkalian.
  4. Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, antara bidang matematik dengan bidang lain dan dengan kehidupan harian.
  5. Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan simbol dan istilah yang betul.
  6. Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan membuat penyesuaian kepada pelbagai strategi bagi menyelesaikan masalah.
  7. Membentuk pemikiran aras tinggi, kritis, kreatif, inovatif, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan harian.
  8. Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan perkaitannya.
  9. Menghargai dan menghayati keindahan matematik.
  10. Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk membina kefahaman konsep dan mengaplikasi ilmu matematik.

DSKP Matematik Sekolah Rendah

FIKRAH MATEMATIK
Bidang Pembelajaran
  • Nombor dan Operasi
  • Sukatan dan Geometri
  • Perkaitan dan Algebra
  • Statistik dan Kebarangkalian
  • Matematik Diskret
Sikap dan Nilai
  • Nilai Matematik
  • Sikap dan Nilai Sejagat
Kemahiran
  • Kemahiran Matematik
  • Kemahiran Menganalisis
  • Kemahiran menyelesaikan masalah
  • Kemahiran membuat penyelidikan
  • Kemahiran berkomunikasi
  • Kemahiran menggunakan teknologi
Proses
  • Penelesaian Masalah
  • Penaakulan
  • Berkomunikasi secara matematik
  • Perwakilan
  • Perkaitan

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik (KSSR Semakan)

Buat masa ini, untuk KSSR Semakan baru ada untuk 2 tahun.

KSSR Matematik berfokus kepada penguasaan pengetahuan, dan pemahaman bagi membolehkan murid mengaplikasikan konsep, prinsip dan proses matematik yang dipelajari. Semoga perkongsian ini dapat memudahkan para guru untuk membuat persediaan sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun hadapan.