Sekolah merupakan institusi ilmiah atau institusi pendidikan yang menjadi tempat untuk menimba ilmu, mengasah bakat kepimpinan dan ko-kurikulum, mengajar adat-budaya serta membangun akhlak, membentuk disiplin diri dan memangkin modal insan. Selain merupakan tempat untuk mendapat pendidikan akademik secara formal, ia juga merupakan satu institusi yang berfungsi untuk menggilap segala kelebihan dan bakat yang ada pada anak-anak supaya lebih intelegent dan celik dalam pelbagai segi. Hal ini demikian, menjadikan sekolah merupakan rumah kedua dalam kehidupan anak-anak.
Didikan di rumah dan bimbingan di sekolah adalah suatu interaksi yang saling memberi hubung kait dan keterikatan yang kuat buat anak-anak. Didikan di rumah akan membawa pengaruh yang besar di dalam sosialisasi anak-anak apabila mereka berhubung dengan kawan-kawan dan para guru mereka di sekolah kelak. Secara lansung, ia memberi pengaruh dan ikutan yang positif atau negatif kepada rangkaian (network) mereka di sekolah.
Sesiapa sahaja pernah menjadi pelajar sekolah dan melalui suatu fasa yang di panggil fasa – Alam Persekolahan. Ingin dikongsikan di sini 7 rutin harian secara umum bagi pelajar-pelajar sekolah.7 rutin itu secara umum ialah:
- Bermula dengan bangun awal pagi untuk bersiap.
- Menaiki basikal / menaiki bas / dihantar oleh ibubapa ke sekolah.
- Perhimpunan Pagi/ Petang.
- Menghadiri kelas dengan pelbagai subjek dan bekalan kerja sekolah.
- Waktu rehat di kantin.
- Sambung semula sesi pembelajaran.
- Sehinggalah loceng terakhir berbunyi, menandakan waktu sekolah pada hari tersebut sudah tamat dan pulang ke rumah.
Begitulah rutin yang diulang-ulang, yang dilalui bagi seorang pelajar sekolah saban hari, saban bulan dan saban tahun. Melihatkan mereka pulang dari sekolah sahaja dengan beg yang digalas dan buku yang banyak, kadang-kadang memenatkan dan meletihkan mata yang memandang.
Ia belum lagi ditambah dengan lambakan bilangan pelajaran yang perlu dipelajari di kelas dan bekalan kerja sekolah yang perlu disiapkan di rumah. Hal ini kadang-kadang boleh mengundang tekanan emosi kepada anak-anak. Oleh itu sebagai ibubapa, amatlah berperanan menjadikan anak-anak sebagai teman dan sahabat yang akrab yang disusuli dengan nasihat dan tindakan yang penuh hikmah, agar secara tidak lansung, mereka boleh berkongsi tentang semua perkara atau masalah yang berlaku di sekolah meraka dengan jujur dan lapang hati.
Sedar atau tidak, tidak semua pelajar sekolah seronok untuk balik ke rumah setelah selesai sesi persekolahan. Hal ini kerana, mereka sudah mengandaikan yang mereka akan dihujani dengan pelbagai suruhan, leteran, soalan yang memenatkan untuk dijawab apabila pulang nanti.
Demikian, sediakan mereka suatu gambaran/ jangkaan (expectation) atau pengharapan yang bahagia dan positif agar mereka seronok untuk pulang kerumah bagi merehatkan lelah dan menyegarkan semula minda. Elakkan daripada pertanyaan yang berbaur kemarahan dan emosi, sebaliknya biasakan mereka dengan nasihat-nasihat yang santai untuk memulakan suatu konversasi yang baik agar emosi anak-anak terjaga selepas lelah pulang dari sekolah.
8 Nasihat Kepada Anak-anak Selepas Balik Dari Sekolah
Uniform Sekolah
Terdiri daripada pakaian dan kasut sekolah.
Memang sudah menjadi kebiasaan dan lumrah, uniform sekolah adalah perkara paling utama apabila anak-anak kita selamat sampai di rumah untuk kita melihat sama ada ia terlalu kotor, kotor, sederhana kotor atau tidak kotor lansung.
Apa sahaja yang berlaku pada uniform sekolah itu, ambil sahaja langkah tenang. Jangan terjerit-jerit kemarahan apabila melihat uniform sekolah anak anda yang kotor.
Nasihatinya dengan baik untuk menyalin uniform sekolah dan menggantungkan uniform sekolah tersebut jika tidak kotor. Sekiranya terlalu kotor, ajarinya untuk bertanggungjawab terhadap kekotoran itu. Berikan sedikit ganjaran yang mudah seperti menyediakan minuman panas/ sejuk selepas menyalin uniform sekolah dan selepas membersihkan/ membasuh uniform yang kotor.
Tahukah anda keadaan uniform sekolah anak anda selepas pulang dari sekolah boleh memberi sedikit gambaran tentang karakter dan kelakuan anak anda di sekolah dan ia boleh menjadi topik perbualan santai untuk anda bertanyakan tentang aktiviti-aktivitinya di sekolah.
Beg Sekolah
Sediakan tempat yang sesuai yang menjadi kebiasaan untuk anak-anak meletakkan beg sekolah.
Tahukah anda, menyediakan tempat letak beg sekolah adalah lebih mudah daripada anda menasihatinya apabila beg tersebut diletakkan bersepah di ruangan yang tidak sepatutnya. Hal ini mengajar mereka untuk lebih kemas dan lebih teratur di rumah.
Bagi anak yang bersekolah menengah periksalah beg sekolah anak anda secara senyap atau semasa mereka tidak melihat yang anda sedang membuat pemeriksaaan beg sekolah mereka. Hal ini untuk mengelakkan perasaan curiga atau pengawasan yang ketat pada dasarnya dapat dihidu oleh anak anda. Anak-anak amat sensitif dengan tindakan-tindakan yang mendorong kepada kongkongan dan berbaur kawalan.
Hal ini kerana seolah-olah kita tidak percaya akan dirinya semasa berada disekolah. Soal selidik akhlak dan kelakuan anak anda dengan pihak sekolah apabila terdapat barang-barang yang tidak sepatutnya berada di dalam beg anak anda.
Jangan terus menuduh dengan melulu kepada anak anda yang baharu sahaja pulang, sebaliknya perlu siasat secara hikmah dan terperinci dengan pihak sekolah atau guru disiplin.
Adakalanya bagi mereka, beg sekolah dijadikan tempat untuk menyimpan barangan peribadi.
Tahukah anda keadaan di dalam beg sekolah anak anda selepas pulang dari sekolah boleh memberi sedikit gambaran tentang tahap keterujaan mereka terhadap proses menuntut ilmu dan ia juga boleh menjadi topik perbualan santai untuk anda bertanyakan tentang subjek dan pelajarannya di sekolah.
Membersihkan diri dan bersolat (muslim) / bermeditasi (bukan muslim)
Selepas berehat sekejap (lebih kurang 5-10 minit waktu berehat), nasihati mereka agar terus membersihkan diri untuk lebih segar dan bersih sebelum makan (makan tengah hari/makan petang/makan malam)
Menyuruh mereka bersolat untuk yang muslim, hal ini memberikan kerehatan dan ketenangan terhadap emosi dan fikiran.
Menasihati anak anda untuk mengambil makanan secukupnya untuk lebih bertenaga.
Tidur Sekejap
Take a nap, ambil masa untuk tidur sekejap atau didalam ajaran Islam ia dipanggil Qailullah. Iaitu tidur sekejap di waktu siang sebelum zohor (sekiranya cuti). Tidur sekejap, sebenarnya adalah untuk ‘recharge’ diri, fikiran dan anggota badan.
Menurut kajian, 1 minit Qailullah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita di waktu malam.. Jadi, sekiranya kita dapat tidur sekadar 15 minit Qailullah ia adalah kadar yang cukup untuk ‘recharge and refresh’.
Tidur sekejap (qailullah) boleh memberi anak anda tenaga untuk bangun awal pagi pada keesokan harinya.
Dari Imam Al-Ghazali, di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’, menyatakan: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat Zuhur.”
Anda juga boleh mendidik anak anda untuk qiamulail sebelum menanti waktu subuh.
Buku Sekolah dan Kerja Sekolah
- Menasihati agar mengeluarkan buku-buku sekolah yang dirancang yang ditentukan untuk hari tersebut bagi persediaan kelas tuisyen atau persediaan untuk ulangkaji pelajaran.
- Menasihati agar mengasingkan kerja-kerja sekolah yang perlu diutamakan sebelum membuat ulangkaji pelajaran.
- Menasihati anak-anak untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran, sekurang-kurangnya 2 jam – 3 jam sehari.
Jadual Sekolah
- Menasihati dan memastikan yang anak anda mengemaskini buku-buku/ Checklist (semak periksa) jadual sekolah untuk bersiap sedia pada hari esok.
- Mengemas dan menyusun atur buku sekolah yang perlu di bawa ke sekolah agar beg yang di bawa, tidak terlalu berat dan tersusun elok di dalam beg.
Beriadah
- Aktiviti riadah amat penting buat kecerdasan otak. Kecerdasan otak menjadikan badan lebih sihat. Minda cerdas, otak cergas, badan sihat adalah kepentingan dan kelebihan apabila kita biasa beriadah.
- Aktiviti beriadah seperti bersukan, bermain basikal, bermain badminton, berjogging dan bersiar-siar.
- Nasihati mereka agar beriadah supaya dapat memberi keseimbangan dari segi fizikal dan mental.
- Ia juga salah satu aktiviti yang dapat mengelakkan kebosanan anak-anak anda.
Periksa Semula.
- Nasihati anak anda untuk periksa semula setiap perkara yang sudah diselesaikan dan yang belum diselesaikan dengan cara membuat senarai.
- Untuk lebih memudahkan, sediakan checklist bagi perkara-pekara yang perlu diselesaikan setiap hari, moga anda dan anak anda tidak lupa.
- Periksa semula jadual sekolah, kerja sekolah dan perancangan tugasan hari esok.
- Tetapkan matlamat dan target untuk hari esok.
Segalanya bermula dari rumah dan sekolah pula sebagai agen/unit sokongan yang membantu anak-anak dalam proses tumbesaran. Kerjasama dan interaksi antara kedua-duanya adalah amat penting dan merupakan proses yang seiring bagi melahirkan satu warisan permata yang bermutu dan bernilai. In syaa Allah.
Penulis Pendidik2u: Zulaiyahaa Binti Abdul Rahman