Bulan Februari telah menuju ke penghujungnya dan Kementerian Pendidikan terus berusaha gigih memenuhi hasrat Pendidikan Untuk Semua seperti yang digagaskan dalam Amanat Tahun Baharu 2019 saya.

Membanggakan untuk diumumkan bahawa sepanjang dua bulan di tahun 2019 ini, kita telah mengecapi lima kejayaan besar dan ia diharapkan menjadi pemangkin semangat buat semua warga Kementerian, termasuk guru-guru, pegawai dan kakitangan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih gigih bagi memastikan Kementerian ini bergerak lebih pantas demi kemajuan pendidikan anak-anak Malaysia.

Perkara terbesar yang berjaya kita sama-sama lakukan ialah memansuhkan peperiksaan Tahap 1. Ini semua kita lakukan untuk memastikan pengajaran dan pentaksiran kini lebih memberi tumpuan kepada aspek kemenjadian murid.

Selain itu, Kementerian juga berjaya membuka sekolah kepada anak-anak tanpa dokumen dan sehingga kini, 2.635 murid telah mendaftar.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Tahun 2019 juga menjadi detik penting buat murid berkeperluan khas (MBK) di seluruh negara apabila Kementerian Pendidikan melaksanakan dasar sifar penolakan terhadap MBK. Setakat ini, 83,039 MBK telah berdaftar dan saya akan memastikan jumlah ini meningkat dengan lebih tinggi bagi kita meluaskan akses pendidikan kepada anak-anak istimewa ini.

Fokus utama Kementerian tahun ini juga adalah untuk bergerak secara agresif dalam membaik pulih sekolah daif di seluruh negara. Sehingga kini lebih 65 peratus atau 394 sekolah telah ditambah baik.

Akhir sekali, Kementerian sedang memberikan fokus menyeluruh dalam usaha mengurangkan beban tugas guru dan untuk tahun 2019, Kementerian secara berperingkat akan memansuhkan tugas-tugas perkeranian guru. Sehingga hari ini, Kementerian telah berjaya mengurangkan kerja-kerja perkeranian sehingga 30 peratus.

Saya percaya seluruh jentera Kementerian Pendidikan Malaysia telah bekerja keras untuk mencapai semua keputusan yang memberansangkan ini dan perlu diberi kredit. Saya juga berharap semua pemegang taruh, sama ada ibu bapa atau pihak swasta terus memberi kepercayaan kepada kami untk memastikan bukan sahaja Pendidikan berkualiti dicapai, tetapi juga menjadi tanggungjawab semua.

#pendidikanuntuksemua
#malaysiamembaca

Sumber Facebook Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u