KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Satu silibus yang khusus berkaitan dengan etika penggunaan tandas dan kepentingan menjaga kemudahan tersebut perlu dibangunkan secara menyeluruh di dalam sekolah.
Profesor Dr. Siti Aisyah Panatik, Pakar Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyatakan keperluan untuk menyusun dengan lebih terperinci silibus tersebut. Ini kerana pada masa kini, mata pelajaran yang sedia ada yang menyentuh tentang etika penggunaan tandas hanyalah dalam bidang pendidikan sivik, sementara penjagaan tandas tidak menjadi fokus utama.
“Ia (etika) diberitahu secara umum. Ada sesetengah sekolah mempunyai etika penjagaan
tandas yang ditampal di dinding-dinding tandas, namun, ia tidak memadai, ia perlu diajar
secara khusus dan praktikal.
“Misalnya guru membawa pelajar melawat tandas pada awal masuk sekolah bagi
meningkatkan keprihatinan dan sayang pada tandas yang bersih. Mulakan dari awal agar
mereka terbiasa dengan penjagaan tandas yang bersih. Galakkan sikap tegur-menegur
dalam kalangan murid untuk menjaga kebersihan. Jadi lama-kelamaan kebiasaan ini akan
membentuk satu tabiat yang berterusan,” katanya
Pada masa yang sama, beliau berharap agar silibus yang dicadangkan juga memberi penekanan kepada aspek keindahan tandas, kerana ia memainkan peranan yang sama penting dalam memajukan kesedaran mengenai kebersihan tandas.
Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengadakan kempen kebersihan tandas di peringkat kebangsaan dan memberikan anugerah kepada sekolah yang dapat memelihara tandas dengan paling bersih dan mempunyai persekitaran yang indah.