SURAT PEKELILING IKHTISAS KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BILANGAN 5 TAHUN 2023, PENGURUSAN MINGGU PERTAMA PERSEKOLAHAN MULAI SESI AKADEMIK TAHUN 2023/2024 KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) ini bertujuan untuk memaklumkan Pengurusan Minggu Pertama Persekolahan Mulai Sesi Akademik Tahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

MUAT TURUN SPI: https://t.me/pendidik2u/7559

MUAT TURUN CADANGAN PROGRAM: https://t.me/pendidik2u/7566

Pengurusan pembukaan sekolah KPM bagi setiap sesi akademik sewajarnya berjalan dalam suasana ceria, mesra dan selamat. Perkara ini selaras dengan hasrat KPM untuk melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dan sekali gus mewujudkan suasana “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”.

Minggu pertama persekolahan seharusnya dimanfaatkan dengan pelaksanaan program/aktiviti menyeronokkan yang dapat menyokong murid dan guru bersedia sepenuhnya dari aspek sosioemosi dan mental untuk melaksanakan proses pendidikan formal.

Program/Aktiviti di sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan akan mempengaruhi adab, akhlak dan motivasi murid dalam pembentukan sahsiah berdasarkan aspek karamah insaniah. Pihak pentadbir sekolah bertanggungjawab memupuk semua nilai baik yang menjadi teras kemenjadian murid khususnya minat murid untuk hadir ke sekolah.

Kerjasama semua pihak seharusnya digembleng termasuk dari segi sumber dan idea pelaksanaan untuk mewujudkan hubungan mesra antara murid dengan murid, murid dengan guru, guru dengan guru, guru dengan ibu bapa dan sekolah dengan komuniti.

Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2023 pada 26 hingga 28 Februari 2023 telah memperakukan pelaksanaan pengurusan pembukaan sekolah mulai sesi akademik tahun 2023/2024.

PELAKSANAAN

Program/Aktiviti minggu pertama pembukaan sekolah hendaklah dilaksanakan di sekolah KPM pada setiap sesi akademik yang baharu bermula sesi akademik tahun 2023/2024.

Konsep pengisian program/aktiviti minggu pertama pembukaan sekolah adalah seperti yang berikut:

  • mewujudkan suasana ceria, selamat, bermakna dan terancang;
  • mempunyai nilai pendidikan dan berinformatif;
  • merupakan sebahagian pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dapat memupuk nilai;
  • mewujudkan komunikasi berkesan melibatkan murid, guru, ibu bapa atau penjaga dan komuniti;
  • memupuk sikap bekerjasama dan persefahaman yang erat antara murid, guru, ibu bapa atau penjaga dan komuniti; dan
  • memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan latar belakang sosioekonomi.

Program Transisi Tahun Satu 2.0 bagi murid Tahun 1 dan program sekolah penyayang hendaklah diteruskan dan disesuaikan dengan konsep seperti perkara 6. Program yang bersifat mendidik berkaitan dengan budaya sekolah, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum juga boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Pihak sekolah hendaklah melaksanakan program/aktiviti ini bermula pada hari pertama persekolahan. Jumlah hari dan pengisian program/aktiviti sepanjang tempoh minggu pertama persekolahan adalah berdasarkan kesesuaian enrolmen, kKemudahan, keperluan dan lokaliti sekolah. Pihak sekolah hendaklah mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dan merancang kaedah yang bersesuaian bagi melaksanakan program/aktiviti minggu pertama persekolahan.

Pengajaran dan pembelajaran hendaklah dimulakan selepas program/aktiviti ini selesai dilaksanakan.

SPl ini berkuat kuasa serta-merta mulai tarikh SPI ini dikeluarkan.

Dengan berkuat kuasa SPI ini, maka Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.13/1989: Pengurusan Hari Pertama Persekolahan bertarikh 13 Disember 1989 terbatal.