Senarai semak guru sebelum pulang ke kampung bercuti. Tidak dinafikan kebanyakan guru mengajar di perantauan, mengajar di negeri orang. Kesempatan Cuti Persekolahan Pertengahan Tahun ini diambil oleh guru-guru untuk pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa, apatah lagi 1 Ramadan yang akan bermula pada awal cuti. Jadi admin senaraikan senarai semak yang utama untuk dijadikan panduan.

Senarai semak guru bercuti

Apakah senarai semak guru sebelum pulang bercuti?

Berikut disenaraikan perkara-perkara penting yang perlu diselesaikan sebelum pulang ke kampung:

Buku Rekod Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

RPH diletakkan sebagai senarai pertama sekali kerana ia merupakan bidang utama kita. RPH perlu disiapkan dan dihantar kepada pentadbir untuk disemak, termasuklah RPH pada hari pertama selepas naik cuti.

Buku Rekod Kedatangan Murid

Buku ini sangat penting terutamanya mereka yang menjadi Guru Kelas, ia perlu ‘ditutup’ kerana lepas naik cuti dah masuk bulan lain. Selain itu, guru kelas juga perlu kemaskini kedatangan di APDM, pastikan maklumat murid lengkap dan terkini. Jika anda tidak lengkapkan buku kedatangan murid ini, kemungkinan besar anda akan ‘diganggu’ ketika sedang bercuti.

Kertas Ujian PKSR 1

Kita percaya banyak sekolah yang baru sahaja selesai menjalankan Ujian Pertengahan Tahun atau PKSR 1, dan masih banyak lagi yang belum ditanda, maka perlu dibawa pulang bersama untuk ditanda ketika cuti ini. Jadi jangan terkejut kalau ada yang nampak cikgu bawa balik kertas soalan bertimbun dalam kereta.

Fail

Bab fail ini memang cukup sensitif, tapi apakan daya itulah kerja tambahan sebagai seorang guru. Fail yang ditinggalkan di sekolah perlulah diletakkan di tempatnya supaya, jika ada pemantauan ketika cuti ni, pentadbir boleh dapatkan dengan mudah, jika tidak anda akan ‘diganggu’ lagi. Fail itu juga haruslah lengkap isinya, walaupun kita percaya guru agak sibuk di minggu terakhir sebelum cuti ini.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Kunci Bilik Khas

Kepada pemegang-pemegang kunci bilik khas ini, pastikan bilik dikunci, lampu, kipas, aircond ditutup. Pernah terjadi di sebuah sekolah aircond tidak ditutup 3 hari, itu baru 3 hari, kali ni cuti 2 minggu. Kunci pula perlu diserahkan kepada pejabat supaya mudah untuk mereka mencarinya.

Data dan Markah

Memandangkan guru perlu kemaskini maklumat seperti data epelaporan, data khatam, markah ujian PKSR 1, dan sebagainya. Pengisian markah ke dalam SAPS juga sudah bermula, jadi jangan lupa bawa balik markah murid.

Isi Borang Ke Luar Negeri

Tidak semua sekolah meminta guru-guru mengisi borang ini, mungkin yang keluar negara atau semenanjung ke Sabah Sarawak sahaja yang isi. Namun begitu, penting juga mengisi borang ini kerana jika berlaku apa-apa yang tidak dijangka, pihak sekolah ada borang ini untuk dirujuk kemana tempat kita tuju.

Kereta

Kenapa tiba-tiba ada disenaraikan kereta ni? Haha, setelah selesai perkara di sekolah, kita masukkan juga perkara luar yang penting iaitu servis kereta anda. Pastikan kereta dalam keadaan yang baik dan selamat untuk anda dan keluarga pulang ke kampung.

Keselamatan Rumah

Bagi yang pulang ke kampung, pastikan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat, bagaimana nak tinggalkan dengan selamat? Antaranya adalah, pastikan semua sambungan elektrik dimatikan, paip ditutup, gas, tingkap, pintu dipastikan dalam keadaan selamat. Maklumkan kepada jiran yang dipercayai bahawa anda tiada di rumah, beri no telefon untuk mudah mereka menghubungi anda. Anda juga boleh maklumkan kepada pihak berkuasa, pihak polis supaya pemantauan dilakukan di area rumah anda. Jangan lupa baca doa meninggalkan rumah, agar ia selamat dari bencana, kecurian, pecah masuk dan sebagainya sebagai tawakal atas usaha yang kita lakukan.

Itulah antara senarai penting yang perlu anda semak dan mengambil tindakan, mungkin ada lagi perkara lain yang tidak disenaraikan, dan menjadi keutamaan. Semoga sedikit sebanyak ia mampu memberikan panduan kepada anda. Semoga perjalanan anda pulang ke kampung dipermudahkan dan dilindungi. Pendidik2u mendoakan anda selamat pulang dan selamat kembali, hati-hati dalam perjalanan, jika mengantuk berhentilah berehat.. Salam Ramadan Al-Mubarak..