Dan kita terus merungut…

Jangan bandingkan zaman kita dahulu dengan zaman kita sekarang. Kita dulu umur 5-6 tahun apa yang kita tahu?

Budak sekarang, umurnya baru 5-6 tahun, tapi dah pandai buat carian cerita kartun dekat youtube. Dan pandai ‘install’ game kat ‘Play Store’.

Maka pihak kerajaan menambah baik silibus yang sedia ada ke satu tahap yang lebih tinggi. Pelbagai reaksi yang datang. Majoriti hanya menyalahkan.

Ya, dan kita terus merungut.

Kita merungut susah, kita bandingkan anak-anak kita dengan zaman persekolahan kita 20 tahun dulu. Mana kan sama tuan. Sangat berbeza puan. Jangan samakan kecerdasan dan iq budak zaman 80an 90an dengan budak generasi Y.

Ramai selalu berbangga-bangga dengan kecerdikan anak-anak mereka melayari internet walau umur belum mencecah 10 tahun. Ramai yang teruja anak pandai menggunakan gadjet walau belum bersekolah.

Bilamana silibus ditambah baik dan ditinggikan tahapnya, kita terus merungut.

Lihat dua gambar ini tuan puan. Ini soalan murid tahun 2 di Singapore. Gambar ini dikongsi oleh sahabat saya, Sir Rajinder Singh beberapa hari lepas.

Soalan matematik singapore

Soalan matematik singapore

Diulang, ini soalan murid TAHUN 2 di Singapore.

Kita selalu tertanya-tanya kenapa Singapura yang sekecil itu mampu berdaya saing dan jauh lebih maju dari negara kita. Sedangkan asalnya mereka itu sebahagian kita. Sedang jaraknya hanya selangkah sahaja.

Ini antara rahsia mereka. Mereka memantapkan sistem pendidikan kita.

Tapi kita?

Terus merungut. Terus dan terus begitu.

Suatu ketika, aku juga seperti kalian. Merungut susah dan tidak percaya anak didik aku mampu ikuti silibus berat ini. Namun sebenarnya, mereka mampu. Tapi dengan satu syarat utama;

SOKONGAN IBUBAPA DI RUMAH

Ibubapa yang membantu tunjuk ajar anak mereka di rumah, dapat mengikuti pelajaran di sekolah dengan baik. Mereka mampu selesaikan masalah yang kita rasa tak terjangkau akal mereka.

Yang mana ibubapa abaikan, anak-anak itu terus tertinggal.

Bukan salah anak itu tidak mampu, ini SALAH IBUBAPA yang tidak cakna dengan pendidikan anak-anak.

Dan satu aku mohon pada Kementerian Pendidikan, tambahkan masa Matematik menjadi 8 masa semula. Seperti dulu kala.

Silibus sekarang berat tuan, namun tidak mustahil. Silibus sekarang tinggi puan, namun masih boleh dicapai.

Aku sebagai guru Tahun 1, penggerak dasar pertama yang melaksanakan silibus KSSR Semakan 2017 yang berat dan tinggi. Aku sedar dan maklum, silibus ini berat, namun murid aku mampu mengikuti dengan baik.

Kekangan aku sekarang adalah MASA. Kembalikan masa pengajaran 8 waktu seminggu sepertimana masa yang diperuntukkan pada zaman KSSR dahulu. Tolonglah tuan di atas sana. Tolonglah.

Dan kepada ibubapa sekalian, entah berapa ratus kali sudah aku seru, bantu kami para guru. Ajari dan didik juga anak kalian di rumah. Yang sibuk sampai tak punyai masa lapang langsung, hantar saja anak ke pusat tuisyen.

Tanpa sokongan tambahan kalian, silibus baru ini hanya angan-angan. Sangat berbeza mengajar murid yang dibimbing di rumah berbanding murid yang diabaikan.

Dan kalian terus merungut.

Dikongsikan juga buku Matematik Tahun 6 Singapore. Gambar dari Tuan Rajinder Singh.

Matematik Singapore

Soalan singapore

Ini kali, hentikan rungutan. Kita bangkit dan melawan. Tanam keyakinan pada anak-anak kita, tanam kepercayaan pada guru-guru di seluruh negara.

Silibus kita hari ini mampu menyaingi negara Singapura. Tidak keterlaluan kalau aku cakap silibus baru hari ini selangkah lebih laju dari mereka.

Semuanya terpulang pada kalian wahai ibubapa. Mahu melihat silibus baru ini menjadi kenyataan atau sekadar angan-angan.

Dan masihkah kalian mahu terus merungut?

#MFS
– Dan aku tidak akan berhenti menulis!

Artikel oleh: Mohd Fadli Salleh

Penulis Buku: Cikgu Kelas Sebelah