Tiada siapa suka apabila kena saman. Walaubagaimana pun, jika dilihat dari perspektif yang positif, saman yang dikeluarkan sebenarnya bertujuan untuk mendidik pengguna agar mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dalam keadaan yang selamat dan berhemah.
Pada masa kini, saman yang dikeluarkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan boleh disemak oleh orang ramai melalui sistem atas talian melalui laman sesawang atau melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS). Kemudahan yang ditawarkan ini berjaya memudahkan dan mempercepatkan orang ramai dalam mengetahui status saman mereka.
Untuk menyemak status saman melalui sistem pesanan ringkas (SMS), kaedah yang boleh dilakukan dengan menaip:
POLIS<jarak>SAMAN<jarak>[Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Plat Kenderaan individu]
pada telefon mudah alih dan menghantarnya kepada nombor 32728 atau 15888.
Contohnya ialah POLIS SAMAN 871124111234 atau POLIS SAMAN WAT1234.
Sekiranya seseorang individu memerlukan jawapan yang lebih terperinci, maka mereka boleh menaip mesej iaitu:
POLIS<jarak>SAMAN<jarak>[Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Plat Kenderaan individu]<jarak>[alamat emel individu]> dan boleh menghantarkannya kepada nombor 32728.
Contohnya ialah POLIS SAMAN 871124111234 myname@yahoo.com.
Maklumat saman yang terperinci akan dihantarkan kepada alamat emel yang telah diberikan. Caj sebanyak 15 sen akan dikenakan bagi setiap SMS yang dihantar manakala caj sebanyak 20 sen akan dikenakan untuk setiap SMS yang diterima.
Bagi semakan saman, lesen memandu JPJ, pula, caranya ialah dengan menaip jpj<jarak>[Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Plat Kenderaan] dan menghantarnya kepada 15888.
Untuk semakan saman melalui laman sesawang dan portal rasmi PDRM, seseorang individu perlu mendaftar melalui laman sesawang tersebut terlebih dahulu sebelum membuat semakan. Bagi semakan saman untuk JPJ melalui portal rasmi JPJ, seseorang individu hanya perlu memasuki laman sesawang rasmi JPJ dan menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor plat kenderaan mereka untuk membuat semakan.
Selain itu, individu juga boleh membuat semakan saman secara online menggunakan laman sesawang berikut:
- MyEG Services Berhad: https://www.myeg.com.my/
- RILEK: https://www.rilek.com.my/
Bagi pengguna yang pertama kali menggunakannya, mereka perlu mendaftar butir-butir pengenalan diri sebelum memulakan semakan saman.
Pendaftaran adalah percuma dan untuk membuat semakan, anda hanya perlu masukkan no kad pengenalan dan juga nombor pendaftaran kenderaan anda.
Sekiranya terdapat saman yang tertunggak, senarai saman dan nilai saman akan tersenarai. Sekiranya tiada saman tertunggak, hasil semakan tidak akan menjumpai sebarang rekod saman tertunggak.
Melalui laman web MyEG, pengguna bukan sahaja dapat membuat semakan online saman PDRM dan juga saman Jabatan Pengangkutan Jalan malah pengguna boleh terus membayar saman yang telah dikeluarkan melalui MyEG dan meperbaharui Cukai Jalan serta Insurans tanpa pergi ke kaunter pembayaran saman.
Walaubagaimana pun, sedikit cas perkhidmatan akan dikenakan jika pembayaran dibuat melalui MyEG. Jika anda tiada masa untuk ke kaunter bayaran saman, ini adalah alternatif terbaik untuk membayar saman. Pastikan juga resit pembayaran sama disimpan dengan baik sebagai bukti sekiranya berlaku perkara berbangkit di masa akan datang.
Sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita hendaklah sentiasa mematuhi segala undang-undang jalan raya. Ini adalah untuk memastikan semua pengguna jalan raya dalam keadaan yang lebih selamat.
Bagi yang telah disaman, anda perlu langsaikan pembayaran saman secepat mungkin kerana pembayaran segera biasanya akan mendapat diskaun. Selain itu juga mereka yang gagal untuk membuat bayaran saman mungkin akan dihadapkan ke mahkamah. Oleh itu, untuk mengelakkan daripada perkara yang lebih rumit, cek saman anda dan bayar secepat mungkin.