Sabtu kena pergi sekolah, ingat kami tiada keluarga ke?

Itulah antara kata-kata yang terucap apabila hari sabtu terpaksa menghadirkan diri ke sekolah bagi menghadiri program atau aktiviti tambahan.

Sabtu dan ahad sepatunya diberi ruang untuk guru-guru meluangkan masa bersama keluarga. Isnin hingga jumaat telah berhempas pulas berada di sekolah, sabtu kena datang lagi?

Kadang-kadang tiada masa untuk bersama keluarga, jika pasangan suami isteri adalah cikgu, kadang-kadang minggu ni isteri kena pergi sekolah suami cuti, minggu depan suami pula pergi sekolah isteri pula cuti.

Lebih parah lagi bagi yang duduk di Johor yang mana Isteri sebagai guru, suami swasta. Isteri kerja Ahad hingga Khamis, suami Isnin hingga Jumaat. Hanya ada sabtu sahaja masa bersama keluarga. Namun jika Isteri terpaksa ke sekolah, tiadalah masa untuk suami dan anak-anak. Sebab itu jika diteliti kehadiran murid pada hari Ahad rendah berbanding hari lain.

Perkara ini juga turut berlaku di negeri-negeri lain yang cuti hujung minggunya Sabtu Ahad.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Memang ada pekeliling kebenaran untuk memanggil guru hadir ke sekolah pada Sabtu minggu kedua dan keempat, namun ia tidak sepatutnya diletakkan pada keadaan ‘wajib kena ada’ program/aktiviti pada minggu tersebut.

Guru-guru pun sememangnya akan memberikan komitmen untuk hadir pada hari sabtu, terutamanya apabila program besar seperti Mesyuarat PIBG, Hari Sukan, Kem Bestari Solat dan sebagainya.

Kita berharap pihak berwajib dapat memahami keadaan guru-guru, kajian menunjukkan tekanan bekerja dan kekurangan masa bersama keluarga akan mengakibatkan masalah mental dan berlakunya kemurungan.

Sebelum ini juga kita telah dikejutkan beberapa kes yang membawa kepada tragedi kehilangan nyawa akibat kemurungan dan tekanan kerja.

Artikel Oleh: Suzana Abdullah

(Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau, ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Pendidik2u)