Home info Pinjaman Peribadi Bank Islam Ok Tak?

Pinjaman Peribadi Bank Islam Ok Tak?

5
1

Apa itu pinjaman peribadi? Pinjaman peribadi adalah satu bentuk pinjaman kewangan yang dibuat tanpa tujuan khas. Ia tidak seperti pinjaman perumahan yang khas untuk pembelian rumah ataupun pinjaman sewa beli seperti pinjaman untuk membeli sebuat kereta. Pinjaman peribadi juga adalah antara bentuk pinjaman yang paling mudah diperolehi di Malaysia.

Walaubagaimana pun, ramai juga yang mengambi kesempatan atas kemudahan ini dengan membuat pinjaman tanpa alasan yang kukuh.

Selain itu, sekiranya anda betul-betul perlukan sumber kewangan, pinjaman hendaklah dibuat dengan institusi kewangan yang berdaftar dengan Bank Negara seperti institusi perbankan. Jangan sesekali membuat pinjaman daripada pihak yang tidak diketahui asal usulnya atau digelar ‘along’ kerana ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada keadaan kewangan anda. Bagi umat Islam adalah menjadi kewajiban untuk memilih perbankan yang patuh Syariah, contohnya seperti Bank Islam.

Maklumat Mengenai Pinjaman Peribadi Bank Islam

Bank Islam Berhad merupakan antara institusi perbankan yang menawarkan pinjaman peribadi kepada mana-mana individu. Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Bank Islam khusus buat para pemohon sebelum mereka membuat permohonan pinjaman tersebut.  Syarat-syarat untuk memohon pinjaman peribadi Bank Islam ini adalah berbeza mengikut beberapa kriteria, iaitu Pakej, Bukan Pakej dan Program untuk Pengamal Perubatan.

Untuk Pakej, amaun pembiayaannya adalah berdasarkan had kelayakan dan tertakluk kepada amaun minimum sebanyak RM10,000 dan amaun maksimum sebanyak RM200,000.

Kelayakan yang diperlukan ialah pemohon harus berumur 18 tahun dan tidak melebihi umur persaraan pada tempoh akhir pembayaran, berpendapatan tetap minimum RM2,000 dan merupakan pekerja sama ada dalam sektor kerajaan, syarikat awam terpilih, anak syarikat kerajaan atau syarikat sendirian berhad terpilih.

Tempoh pembayarannya pula ialah maksimum selama 10 tahun (120 bulan) atau sehingga umur persaraan pemohon, mengikut mana yang lebih awal.

Bagi yang Bukan Pakej, amaun minimumnya adalah sebanyak RM10,000 dan maksimum sebanyak RM150,000. Bagi pembiayaan sebanyak RM30,000 dan ke bawah,tiada penjamin diperlukan manakala bagi pembiayaan RM30,000 ke atas, seorang penjamin diperlukan. Had kelayakan untuk Bukan Pakej adalah sama seperti Pakej, kecuali gaji minimum individu haruslah sebanyak RM3,500 sebulan.

Bagi Program untuk Pengamal Perubatan, amaun minimum pembiayaan adalah sebayak RM10,000 dan amaun maksimumnya adalah sebanyak RM200,000. Had kelayakan pula ialah individu perlu berumur 25 tahun ke atas, mempunyai pendapatan kasar minimum sebanyak RM2,000 sebulan dan tempoh minimum dalam perkhidmatan ialah 6 bulan bagi kakitangan tetap dan 2 tahun untuk kakitangan kontrak kerajaan.

Laman Web Bank Islam: www.bankislam.com.my/

Bayaran untuk  kesemua jenis pembiayaan ini boleh dilakukan menggunakan kaedah potongan gaji, pindahan gaji kepada Bank Islam dengan arahan autodebit dan arahan autodebit daripada bank lain yang menguruskan pengkreditan gaji. Gunakan kaedah-kaedah ini untuk memastikan pembayaran dilakukan setiap bulan tanpa gagal.

Satu perkara penting yang perlu sentiasa diambil kira adalah, kita perlu sentiasa berwaspadalah dengan pinjaman peribadi. Walaupun kini pinjaman peribadi mudah untuk diperolehi, kita hendaklah sentiasa berhemah dalam menggunakan perkhidmatan ini. Gunakan perkhidmatan ini sekiranya anda betul-betul perlu dan juga anda mampu untuk membayar pinjaman tersebut setiap bulan.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada ramai rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis adalah disebabkan oleh pinjaman peribadi.  Berdasarkan statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, 24% daripada orang yang diisytiharkan muflis adalah disebabkan oleh pinjaman peribadi.  Ini bukanlah satu angka yang kecil.

Sebaiknya, kurangkan hutang anda dan tambahkan simpanan dan pelaburan anda dari masa ke semasa agar anda tidak perlu lagi menggunakan pinjaman peribadi di masa akan datang.

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here