Emas adalah komoditi yang paling bernilai dari dahulu sehinggalah kini. Berbanding dengan matawang kertas, nilai emas adalah sama dari zaman dahulu hinggalah kini. Sebagai contoh, harga seekor kambing pada zaman Rasullullah S.A.W adalah 1 dinar. Kini harga kambing juga adalah dalam lingkungan RM800 yang menyamai nilai 1 dinar.
Emas juga boleh dijadikan sebagai simpanan dan pelaburan. Tujuan menyimpan emas adalah untuk memastikan nilai matawang tidak ditelan oleh inflasi. Ramai juga yang memberikan pandangan bahawa emas boleh djadikan sebagai medium pelaburan.
Pelaburan emas merupakan antara kaedah pelaburan masa kini yang boleh dijadikan sebagai punca untuk melindungi, menjana keuntungan dan menjadi penyelamat sewaktu keadaan ekonomi yang tidak stabil akibat daripada kejatuhan nilai mata wang, kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup serta masalah inflasi.
Kita juga sedia maklum bahawa, golongan penjawat awam merupakan yang paling banyak terlibat dalam bermacam jenis pelaburan dan MLM, Jualan Langsung, Skim Piramid dan sebagainya. Mungkin kerana mereka mudah untuk membuat pinjaman peribadi, dan kesempatan ini digunakan sesetengah pihak untuk ‘mengajak’ berkongsi perniagaan.
Dalam masa-masa kegawatan ekonomi beginilah, emas dan perak menjadi pilihan utama kerana harganya yang sentiasa meningkat terutamanya apabila berlakunya kejatuhan nilai mata wang. Ini adalah kerana nilai emas akan semakin bertambah dalam jangkamasa yang panjang meskipun dengan kejatuhan nilai mata wang.
Antara emas yang digunakan untuk pelaburan ialah:
- Emas 24 karat iaitu 99.99% emas.
- Emas 22 karat, iaitu 91.6% emas.
- Emas LBMA (London Bullion Market Association) iaitu emas bebas GST.
- LBMA Gold Bar iaitu jongkong emas.
- LBMA Gold Wafer iaitu jongkong emas berbentuk bulat.
- LBMA Gold Wafer Dinar iaitu emas dinar berbentuk bulat.
- Non LBMA iaitu jongkong emas bungamas.
- Emas 24 karat GAP serta LBMA Silver Bar, iaitu jongkong perak.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum memulakan pelaburan emas.
Perkara pertama adalah emas untuk pelaburan adalah dalam bentuk seperti bar emas, jongkong emas atau dinar dan bukannya barangan kemas seperti gelang dan cincin. Ini adalah kerana jongkong dan dinar emas mempunyai nilai susut yang lebih rendah (antara 5% hingga 9%) berbanding nilai susut barangan kemas.
Perkara kedua ialah dengan membeli jongkong emas termurah yang bebas GST seperti emas LBMA di mana jongkong emas ini telah diiktiraf dunia.
Selain itu, pembelian emas ini haruslah melalui syarikat pelaburan yang patuh syariah bagi memastikan keyakinan dan keselamatan seperti yang dituntut dalam Islam. Pengesahan patuh syariah ini perlu melalui satu proses yang panjang kerana ia memerlukan ketelitian, peraturan dan kesahan yang tepat bagi sesuatu pelaburan emas.
Anda boleh tonton Video Seminar Kewangan Islam Pelaburan Emas yang disampaikan oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di bawah:
Emas juga harus dibeli daripada syarikat pelaburan emas yang telah disahkan dan kukuh bagi mengelakkan kesilapan mendapatkan harga jual yang rendah dan merugikan pelaburan.
Satu lagi perkara yang perlu anda tahu berkenaan pelaburan emas adalah ianya mestilah melibatkan emas fizikal bukannya emas dalam bentuk sijil sahaja. Ini bermakna anda boleh pegang dan simpan sendiri emas yang anda beli. Sekiranya ada syarikat yang menawarkan pelaburan emas tetapi tidak memberikan emas fizikal, berkemungkinan besar ianya merupakan scam pelaburan emas dan jika bukan scam pun, ianya tidak patuh syariah.
Pelaburan emas juga sebenarnya tidak memerlukan modal permulaan yang besar. Anda boleh mulakan pelaburan emas dengan membeli bar emas 1g. Harga emas hari ini 1 g semasa artikel ini ditulis adalah lebih kurang RM250. Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan yang konsisten setiap bulan. Jika anda membeli 1 g emas setiap bulan, dalam setahun anda sudah ada 12g emas sebagai simpanan dan juga pelaburan.
Setiap orang boleh mulakan pelaburan emas. Tetapi dalam masa yang sama, ilmu berkenaan pelaburan emas perlu dipelajari agar pelaburan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menguntungkan.
Setuju, emas adalah aset kalis inflasi. Boleh download ebook “Asas Pelaburan Emas di Malaysia” klik bit.ly/ebookEmas