Malaysia merupakan sebuah negara yang berkembang pesat seiring dengan ledakan globalisasi pada masa kini. Dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa suatu perubahan yang akan memberi kesan kepada dunia pendidikan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dan berusaha untuk menjayakan usaha tersebut. Bersesuaian dengan matlamat dan zaman, KPM telah melaksanakan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) bermula pada tahun 2014.

Kini, PAK21 telah menjadi satu isu yang hangat dalam dunia pendidikan kerana ia dilihat mampu memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini, di samping membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan. PAK21 dikatakan sebagai proses pembelajaran yang berpusatkan kepada murid. Terdapat beberapa elemen yang diterapkan, iaitu komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Elemen-elemen ini juga disebut sebagai standard asas dalam PAK21. Adakah elemen-elemen ini memberi kesan positif kepada murid-murid?

Komunikasi

Secara umumnya, komunikasi merupakan suatu proses pertukaran maklumat daripada individu kepada individu yang lain. Dalam konteks pendidikan, komunikasi merujuk kepada perbualan yang berlaku di antara guru dan murid atau murid dan murid untuk berkongsi ilmu yang difahami bersama rakan-rakan lain. Ini yang dikatakan sebagai komunikasi berpusatkan murid. Namun begitu, jika guru tidak memainkan peranannya dengan baik, komunikasi yang berkesan tidak akan terhasil semasa proses pembelajaran berlangsung.

Sebagai contoh, guru ingin mewujudkan komunikasi dua hala dalam kalangan murid-muridnya melalui pembentangan mengenai tajuk yang diberi dan meminta murid-murid untuk berbincang di dalam kumpulan masing-masing sebelum memulakan pembentangan di hadapan kelas. Pada masa yang sama, guru juga perlu memainkan peranannya sebagai fasilitator kepada muridnya. Guru hendaklah memantau cara penyampaian murid-muridnya supaya pembentangan tersebut menjadi pembentangan yang berkesan serta dapat memberikan maklumat yang berkualiti kepada murid lain.

Bagi pembangunan diri murid itu sendiri, guru boleh memberi komen yang membina dari segi penggunaan bahasa badan, nada suara, tulisan, cara bertanya kepada rakan-rakan lain, cara menjawab soalan yang diaju, cara memberi maklum balas jika rakan bertanya soalan yang tidak dijangka dan sebagainya.

Oleh yang demikian, murid-murid dapat membina keyakinan diri semasa berinteraksi bersama rakan-rakan lain kerana mereka mampu mendengar dan memberi maklum balas, mampu untuk memberi penerangan yang jelas dan ringkas, memahami kaedah-kaedah untuk menyampaikan maklumat dan juga mereka akan berasa lebih terbuka jika diminta untuk mengulas sebarang topik.

Kolaboratif

Kolaboratif merujuk kepada sesuatu yang dilakukan secara bersama-sama atau berkumpulan. Kolaboratif dalam dunia pendidikan pula adalah kerjasama yang wujud antara guru dan murid atau murid dan murid secara aktif dan menyeluruh, di mana, ia melibatkan pertukaran idea, pendapat atau pengetahuan antara murid-murid. Bagi elemen ini, guru perlu memahami gaya pembelajaran muridnya.

Terdapat murid yang tidak suka membuat tugasan secara berkumpulan disebabkan beberapa faktor. Sesetengah murid tidak selesa membuat perbincangan bersama rakan-rakan kerana ideanya seringkali dipandang sepi oleh ahli kumpulannya, di samping hubungan antara ahli kumpulan yang tidak begitu mesra antara satu sama lain.

Oleh itu, guru perlu menarik perhatian mereka supaya tugasan berkumpulan kelihatan lebih seronok pada pandangan mereka. Ada sesetengah murid pula seronok jika diberi tugasan berkumpulan kerana mereka tidak perlu mengerah otak untuk memikirkan idea-idea yang bernas, sebaliknya dibiarkan rakan-rakan sahaja menyelesaikan tugasan yang diberi.

Dalam hal ini, guru bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah-masalah sebegini kerana jika elemen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia dapat membantu murid-murid dalam meningkatkan pencapaian mereka dari masa ke masa.

Sekiranya wujud suasana kelas yang kolaboratif, maka, ia akan membawa kepada metakognitif, iaitu kesedaran murid-murid tentang perkara yang diketahui dan tidak diketahui semasa proses pembelajarannya. Melalui kolaborasi, guru boleh menerapkan beberapa nilai positif dalam diri murid itu sendiri, seperti bertanggungjawab terhadap tugasan dalam kumpulan, penglibatan aktif atau seimbang, bersikap terbuka untuk menerima idea dan pandangan rakan-rakan lain serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mereka. Jadi, guru adalah insan yang paling sesuai untuk melakukan sesuatu perkara dalam memancing emosi dan perhatian murid-muridnya.

Pemikiran Kritis

Ada sesetengah pihak seringkali keliru dengan istilah pemikiran kritis dan kreatif. Ia merupakan dua istilah yang berbeza. Secara amnya, pemikiran kritis merujuk kepada keupayaan individu untuk membuat penilaian mengenai sesuatu perkara, termasuk kebaikan dan kelemahannya. Dari sudut pendidikan, pemikiran kritis berlaku apabila murid-murid mula meneroka pemikiran mereka untuk menilai idea-idea yang diterima secara rasional dan membuat pertimbangan mengenai idea tersebut melalui penggunaan alasan-alasan yang wajar.

Pemikiran kritis boleh terhasil dengan berkesan melalui beberapa cara, seperti penggunaan sumber yang meluas. Sumber yang meluas merujuk kepada maklumat yang diperoleh oleh murid-murid. Oleh itu, guru perlu memantau sama ada maklumat yang dicari oleh murid bersesuaian dengan topik pembelajaran ataupun tidak. Guru juga perlu memastikan muridnya mahir untuk mencari maklumat yang berkaitan dan menilai sama ada maklumat yang diperoleh itu cukup atau tidak untuk melaksanakan tugasan yang diberi.

Kemudian, pemikiran kritis yang berkesan boleh terhasil sekiranya guru tidak mengehadkan idea dan pendapat murid-muridnya. Di dalam kelas abad ke-21, guru seharusnya menggalakkan murid untuk memberi pandangan tentang sesuatu topik yang sedang dibincang. Pandangan yang tidak tersasar daripada topik perbincangan harus diterima oleh guru supaya murid-murid berasa selesa dan seronok untuk mengutarakan idea-idea mereka.

Dari situ, guru boleh menilai tahap pemikiran muridnya terhadap sesuatu perkara. Adakah mereka melihat sesuatu perkara daripada sudut yang berbeza? Jika ya, ini bermakna murid tersebut telah berfikir secara kritis.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Seterusnya, guru juga boleh menerapkan elemen perbahasan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) berlangsung. Bagi memulakan sesi PDP, guru perlu meminta murid untuk memberikan idea atau pandangan mengenai tajuk pembelajaran pada hari tersebut. Idea yang diberi tidak perlu dibincangkan, tetapi, guru perlu bertanya kepada murid mengapa idea tersebut yang diberi.

Guru juga perlu memberi galakan kepada murid-murid lain untuk membahas idea tersebut supaya mereka dapat menjana pelbagai pandangan dan pengetahuan.

Oleh yang demikian, elemen pemikiran kritis berjaya diterapkan dalam diri murid-murid melalui sesi PDP yang dilaksanakan oleh guru. Ia berlaku hanya dengan penerapan beberapa perkara penting, seperti memiliki maklumat yang sesuai berdasarkan tajuk, mempunyai sikap ingin tahu dan bersedia untuk meneroka sesuatu topik melalui pembacaan, soal jawab bersama guru dan rakan serta melaksanakan aktiviti hands-on bagi mendapatkan sesuatu maklumat, di samping mampu membuat sesuatu keputusan berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh dan berupaya untuk mempertahankan keputusan tersebut dengan menggunakan bukti-bukti yang berasas.

Murid yang berfikiran kritis adalah murid yang berfikiran terbuka, di mana, mereka mudah untuk menerima pandangan atau idea yang dikemukakan oleh rakan-rakan lain serta tidak merendah-rendahkan idea yang diterima. Dengan ini, guru-guru perlu mengenali setiap muridnya supaya elemen ini lebih mudah diterapkan semasa PDP berlangsung.

Kreativiti

Kreativiti merujuk kepada sesuatu proses yang berlaku, di mana, ia melibatkan penghasilan sesuatu yang baru, berguna dan juga berkualiti. Elemen ini juga merupakan salah satu elemen yang penting untuk diterapkan dalam diri murid. Hal ini demikian kerana kreativiti bersifat meluas yang melibatkan sesuatu projek dan juga pemikiran murid itu sendiri. Mereka perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru dan berguna.

Dalam kelas abad ke-21, guru boleh meminta muridnya untuk menghasilkan sesuatu produk yang unik, iaitu produk yang lain daripada produk sedia ada. Perkara ini amat bersesuaian dengan ciri-ciri kelas abad ke-21, iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Walau bagaimanapun, murid-murid masih memerlukan bimbingan daripada seorang guru. Guru perlu menilai sama ada produk yang dihasilkan oleh murid adalah sebuah produk yang baru atau sedia ada, di samping meneliti keunikan dan keaslian produk itu sendiri. Komen-komen yang praktikal perlu diberi supaya murid dapat membuat penambahbaikan terhadap produk ciptaannya.

Selain itu, guru perlu meminta murid untuk memberi penerangan tentang produk yang dihasilkan. Dari situ, guru boleh menilai sama ada murid tesebut mampu memberi hujah-hujah yang kukuh atau tidak dalam mempertahankan keistimewaan produk ciptaannya. Di sini guru boleh menerapkan unsur pemikiran kritis dengan meminta murid-murid lain untuk turut memberi pandangan dan idea bagi tujuan penambahbaikan terhadap produk tersebut. Oleh yang demikian, setiap murid dapat menjana pelbagai idea daripada rakan-rakan mereka sendiri.

Guru hanya perlu membimbing muridnya untuk berfikir mengenai sesuatu perkara daripada pelbagai sudut. Dengan itu, hasil sesi PDP yang dilaksanakan oleh guru akan menghasilkan murid-murid yang berani mengambil risiko, seperti berani untuk mengemukakan idea tanpa merasa bimbang terhadap kritikan yang bakal diterima, di samping berupaya untuk berpandangan jauh tentang sesuatu perkara.

Nilai Murni dan Etika

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku yang baik, beradab dan menjaga tatasusila, manakala, etika pula merujuk kepada keperibadian atau perwatakan seseorang. Dalam dunia pendidikan, elemen ini amat penting untuk diterapkan dalam diri murid-murid supaya ia dapat membentuk jati diri yang tinggi. Guru merupakan insan yang paling rapat dengan murid ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, guru seharusnya berusaha untuk menerapkan nilai-nilai yang positif dalam diri murid-murid semasa sesi PDP berlangsung.

Ketika sesi PDP, guru boleh meminta murid untuk menyatakan nilai murni yang bersesuaian dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. Kemudian, guru perlu menilai sama ada murid tersebut memahami nilai murni yang dinyatakan ataupun tidak. Jika mereka memahami nilai murni tersebut, guru perlu melihat pula dari segi kelakuannya. Adakah mereka tahu cara-cara untuk menerapkan nilai-nilai murni itu dalam tingkah laku mereka? Di sini, guru memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik murid-murid untuk sentiasa berkelakuan sopan.

Terdapat sesetengah murid yang suka untuk merendah-rendahkan rakan-rakan yang mengamalkan nilai-nilai murni. Namun begitu, jika guru berupaya untuk mengubah persepsi mereka terhadap nilai murni, maka, terhasillah seorang murid yang beretika dan berkelakuan baik. Guru perlu meminta mereka untuk memberi pandangan tentang nilai-nilai murni dan etika yang harus diterapkan dalam diri mereka, dari segi kesan amalan nilai tersebut terhadap diri, masyarakat, agama dan juga negara.

Guru juga boleh memberi penghargaan kepada murid yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai yang dipelajari semasa sesi PDP. Perkara ini boleh menjadi satu galakan kepada murid-murid lain untuk bersama-sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, guru perlu kreatif dan kritis dalam mendidik murid-murid untuk menjadikan mereka seorang insan yang berguna dan berkualiti setelah tamat alam persekolahan kelak.

Kelas abad ke-21 ini amat sesuai dilaksanakan kerana ia banyak memberi impak-impak yang positif dalam diri murid. Dengan wujudnya kelas abad ke-21 ini, murid-murid akan dilatih untuk memiliki kemahiran yang boleh digunakan pada masa akan datang, seperti kemahiran komunikasi yang baik, mampu berkolaborasi dan menyelesaikan masalah berdasarkan realiti kehidupan. Selain itu, murid juga bersedia untuk menghadapi peperiksaan, di mana peperiksaan kini diterapkan dengan unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Ia tidak menjadi masalah bagi murid itu sendiri kerana pemikiran mereka sentiasa dicabar semasa sesi PDP di dalam kelas. Kelas abad ke-21 juga membantu murid untuk bersedia ke alam pekerjaan. Majikan kini amat mementingkan beberapa aspek, seperti kemahiran komunikasi, mampu menyelesaikan masalah serta berfikiran kritis dan kreatif bagi membolehkan individu yang ditemuduga diterima bekerja di syarikat mereka. Impak-impak ini dilihat dapat memberi kesan positif terhadap diri murid itu sendiri, sekolah dan juga negara, seiring dengan hasrat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.