Salah satu penambahbaikan yang dibuat untuk menjaga kebajikan Penjawat Awam adalah membenarkan wanita mengandung pulang awal sejam. Berita ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober 2017 lalu.

Kemudahan itu diberikan kepada semua penjawat awam termasuk yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam bertujuan menjaga kebajikan dan keselamatan penjawat awam wanita yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 `Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu Jam Kepada Pegawai Wanita Mengandung’.

Selain daripada kemudahan ini, Pegawai Wanita juga diberikan kemudahan Cuti Bersalin dan Cuti Menjaga Anak.

Siapakah yang layak menerima kemudahan pulang awal 1 jam?

Pegawai Wanita yang mengandung 5 bulan dan ke atas bekerja sebagai Penjawat Awam sama ada tetap atau kontrak.

Kemudahan ini juga diberikan kepada pasangan Pegawai Wanita yang mengandung iaitu suami yang turut bekerja sebagai penjawat awam.

Adakah permohonan perlu dibuat setiap hari? atau setiap bulan?
Sebenarnya permohonan hanya perlu dibuat sekali sahaja bagi setiap kehamilan, ini bermakna sekiranya anda telah diberi kelulusan oleh Ketua Jabatan untuk menggunakan kemudahan ini, maka anda bolehlah pulang awal sejam seperti mana yang telah dibenarkan di dalam pekeliling.

Bagi suami pula, perlu juga membuat permohonan dengan Ketua Jabatan selepas permohonan isteri telah diluluskan.

Borang permohonan hendaklah dikemukakan awal seminggu sebelum kemudahan ini hendak digunakan.

Bagaimana pelaksanaan kemudahan ini pada bulan Ramadan?
Pegawai boleh memilih sama ada ingin menggunakan kemudahan ini atau kemudahan WBB Bulan Ramadan.

Perkara Yang TIdak Dibenarkan Dalam Menggunakan Kemudahan Ini

Pegawai yang menggunakan kemudahan ini tidak boleh menuntut bayaran lebih masa bagi tujuan menyelesaikan tugas hakiki yang tertunggak kerana pulang lebih awal.

Contoh: Pegawai A pulang awal sejam, menyebabkan tugasnya tertunggak. Lalu beliau datang bertugas pada hari sabtu untuk menyelesaikan kerja-kerja hakikinya yang tertunggak. Pegawai A ini tidak dibenarkan membuat tuntutan bayaran lebih masa.

Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegwai untuk bekerja lebih masa atas sebab kepentingan perkhidmatan selaras dengan peraturan kerja lebih masa yang berkuat kuasa.

Adakah kemudahan ini juga melibatkan penjawat awam yang dalam kategori Guru?

Perkara ini menjadi pertikaian di luar sana termasuklah di media sosial, ini berikutan jadual kerja guru yang berbeza dengan waktu pejabat.

Jadual kerja Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) biasanya 7 pagi 2 petang. Oleh itu adakah cikgu dibenar untuk menggunakan kemudahan ini?

Untuk merungkai persoalan ini, kita hendaklah merujuk kepada Pekeliling yang telah dikeluarkan iaitu:

Bagi Perkhidmatan Pendidikan yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran sepenuh masa di sekolah atau institusi pendidikan, dan perkhidmatan yang waktu bekerjanya berlainan daripada waktu bekerja pejabat seperti waktu bekerja syif, Ketua Jabatan boleh menyediakan peraturan dalaman berkaitan kemudahan ini yang bersesuaian dengan kepentingan perkhidmatan masing-masing.

Ini bermakna ia berdasarkan kebijaksanaan Guru Besar atau Pengetua bagaimana pelaksanaannya di peringkat sekolah. Jika waktu persekolahan tamat pukul 1, mungkin guru tersebut boleh dibenarkan pulang tanpa perlu menunggu waktu sebenar guru pulang.

Walaubagaimanapun kemudahan ini bukan merupakan hak bagi pegawai. Jika ada kepentingan perkhidmatan, Ketua Jabatan boleh menarik balik atau meminda kelulusan kemudahan yang telah diberikan.

Cara Memohon

Kepada mereka yang ingin memohon kemudahan pulang awal sejam ini hendaklah mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi bersama pekeliling berikut: Pekeliling Pulang Awal 1 Jam Wanita Mengandung

Pemohon perlu mengemukakan pengesahan doktor yang membuktikan tempoh kehamilan. Mengandung 5 Bulan ke atas bermaksud usia kehamilan adalah 22 minggu dan ke atas.

Semoga info dan maklumat ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mencari maklumat dan menyebarkannya kepada rakain-rakan yang memerlukan.