Pentaksiran bilik darjah (PBD) merupakan satu proses pengumpulan maklumat yang membantu guru mengesan tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran mereka.

Maklumat yang terkumpul ini memberi petunjuk kepada guru untuk merancang tindak susul bagi membantu perkembangan pembelajaran murid.

Sejajar dengan kemajuan dunia digital dalam pendidikan, kaedah PdP dan pentaksiran juga mengalami perubahan.

Pelbagai alat digital dan aplikasi baharu dicipta, maka penggunaannya boleh dioptimumkan mengikut kesesuaian untuk pelaksanaan PdP dan PBD.

PBD secara dalam talian atau online merujuk kepada kaedah pentaksiran yang menggunakan pelbagai bentuk komunikasi dan aplikasi untuk mentaksir murid.

Antara peralatan komunikasi yang sesuai digunakan untuk PBD dalam talian adalah seperti telefon, komputer, tablet, mesin faksimili dan sebagainya. Manakala aplikasi komunikasi pula adalah seperti sistem pesanan mesej, suara, e-mel atau sidang video.

Contoh aplikasi yang boleh digunakan adalah seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp,
Zoom dan lain-lain.

KPM juga menyediakan pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) atau pelantar pembelajaran lain yang sesuai dan membolehkan guru mengakses Google Classroom serta aplikasi pembelajaran seperti Quizizz, Kahoot, Wordwall, Padlet dan sebagainya.

Pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kerja projek, kuiz, pembentangan, tunjuk cara dan lain-lain boleh dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan pelantar pembelajaran yang sesuai.

PBD Dalam Talian

Konsep PBD dalam talian adalah sama seperti konsep PBD dalam Bab 2, melalui penggunaan aplikasi yang sesuai.

Kaedah pentaksiran secara pemerhatian, lisan dan bertulis masih kekal dan sesuai digunakan, namun begitu guru perlu mengubah suai kaedah pentaksiran agar bersesuaian dengan PdP yang dijalankan. Internet merupakan medium komunikasi utama PBD secara dalam talian.

Kaedah Pentaksiran Secara Pemerhatian

Pentaksiran secara pemerhatian boleh dijalankan dengan menggunakan
aplikasi yang sesuai seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp, Zoom atau aplikasi lain bagi membolehkan guru memerhati dan mentaksir proses kerja murid dalam setiap mata pelajaran.

Murid boleh membuat rakaman video proses melaksanakan sesuatu tugasan seperti aktiviti
dan eksperimen yang diberikan oleh guru. Guru memberikan maklum balas atau membuat pentaksiran berdasarkan rakaman video.

Guru juga boleh memerhati dan mentaksir tingkah laku murid semasa mereka
berinteraksi dengan guru atau dengan murid lain melalui aplikasi yang bersesuaian.

Kaedah Pentaksiran Secara Lisan

Pentaksiran secara lisan boleh dijalankan apabila guru mengadakan sesi soal jawab dan memberikan maklum balas secara lisan kepada murid tentang pembelajarannya. Guru juga boleh mengajukan soalan yang efektif untuk mencungkil pemahaman murid tentang sesuatu perkara
yang dipelajarinya.

Kaedah ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi dalam talian yang sesuai seperti Google Meet, Microsoft Teams, Zoom, WhatsApp, Telegram atau aplikasi lain yang boleh digunakan
untuk mentaksir jawapan murid secara lisan. Murid juga boleh merakam dan menghantar hasil kerja dengan menggunakan aplikasi tersebut.

Kaedah Pentaksiran Secara Bertulis

Pentaksiran secara bertulis melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa hasil penulisan murid seperti karangan, laporan projek, latihan bertulis dan sebagainya melalui pelbagai aplikasi dalam talian seperti Telegram, Zoom, WhatsApp, atau aplikasi yang lain.

Guru boleh menyediakan lembaran kerja dengan menggunakan aplikasi Google
Docs, Google Slides, Google Forms atau aplikasi yang sesuai.

Murid juga boleh menghantar hasil kerja bertulis melalui aplikasi yang digunakan
oleh guru atau peralatan lain seperti kamera, video dan pengimbas. Guru juga menyemak hasil kerja bertulis murid dengan memberikan maklum balas melalui aplikasi dan medium yang sesuai.

Pentaksiran Kendiri dan Pentaksiran Rakan Sebaya

Pentaksiran kendiri dilaksanakan dengan murid mentaksir hasil kerja mereka sendiri. Murid boleh bersoal jawab dengan guru melalui pelbagai aplikasi seperti Google Meet, WhatsApp, Telegram,
e-mel dan lain-lain.

Pentaksiran rakan sebaya dilaksanakan dengan murid mentaksir hasil kerja rakan mereka. Pentaksiran rakan sebaya juga memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi antara satu sama lain melalui Google Meet, WhatsApp, Telegram, e-mel dan lain-lain.

Sistem Sokongan Guru

KPM menyediakan sumber dalam Komuniti Guru Digital Learning yang memberikan latihan kepada guru untuk membina kemahiran menjalankan e-pembelajaran dengan murid. Guru boleh mengakses Komuniti Guru Digital Learning melalui pelantar DELIMa.

Terdapat lima modul yang melatih dan membantu guru menyediakan perancangan, membina bahan serta menjalankan pentaksiran secara dalam talian. Modul tersebut juga dilengkapi dengan video tutorial, visual dan contoh untuk menggunakan aplikasi dalam talian.

Lima modul tersebut ialah:

a. Modul 1 – Jom mula e-pembelajaran!
b. Modul 2 – Bina bahan pengajaran digital
c. Modul 3 – Menambah elemen interaktif untuk pembelajaran aktif
d. Modul 4 – Membina penilaian dalam talian
e. Modul 5 – Membina persekitaran digital yang positif

Guru dibimbing cara menanda dalam Google Form, menggunakan rubrik
untuk penandaan serta tugasan kolaboratif yang seiring dengan
kemahiran abad ke-21 dalam Modul 4.

Cara membina Google Form, Google Docs, Google Slides serta rakam layar pula diterangkan dalam
Modul 2. Guru-guru digalakkan menggunakan sistem sokongan ini agar
dapat membantu pelaksanaan PdP dan PBD dalam talian.

Merekod dan Pelaporan PBD

Guru perlu merekod maklumat pentaksiran yang dijalankan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian masing-masing. Rekod ini boleh digunakan bagi membantu guru menentukan tahap penguasaan murid.

Guru masih menggunakan templat pelaporan PBD yang sedia ada di portal BPK untuk tujuan pelaporan PBD walaupun melaksanakan PdP dan PBD secara dalam talian. Pelaporan masih dilakukan sekurangkurangnya dua kali setahun.

Peranan Guru

Peranan guru dalam melaksanakan PBD dalam talian adalah seperti dalam Bab 5. Guru boleh membina instrumen dengan menggunakan aplikasi yang sesuai.

Ketua panitia bersama-sama guru mata pelajaran boleh berbincang dan membuat penyelarasan berkaitan kaedah serta instrumen pentaksiran yang boleh digunakan secara dalam talian
mengikut kreativiti guru.

Guru dalam panitia yang sama juga boleh melakukan moderasi (perbincangan) sesama mereka secara dalam talian bagi menetapkan tahap penguasaan murid.

Guru boleh menjalankan PBD secara individu atau berkumpulan contohnya lima atau enam orang murid dalam satu-satu masa jika terdapat murid yang ramai dalam sebuah kelas supaya pentaksiran boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Guru boleh menetapkan jadual dan ahli dalam kumpulan yang akan ditaksir.

Peranan Pentadbir dan Penjaminan Kualiti

Penjaminan kualiti bagi PBD masih beroperasi seperti perkara 5.2. Pihak pentadbir perlu sentiasa memantau, membimbing, membantu, memudah cara dan meningkatkan pengetahuan guru tentang PBD walaupun dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi yang sesuai.

Pihak pentadbir perlu memastikan panitia mata pelajaran mengadakan perbincangan dan penyelarasan berkaitan kaedah serta instrumen yang sesuai berdasarkan keperluan setempat.

Selain daripada itu, pihak pentadbir perlu memastikan guru mengambil tindakan susulan yang sesuai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

Pelaksanaan PBD Berasaskan Projek

PBD Berasaskan Projek boleh dilaksanakan secara dalam talian, seperti pelaksanaannya yang dinyatakan di Bab 6. Pihak sekolah boleh merancang mesyuarat, perbincangan, perjumpaan, penyeliaan, bimbingan dan pentaksiran secara dalam talian.

Setiap sekolah mempunyai ciri dan budaya tersendiri serta mempunyai strategi khusus untuk melaksanakan projek. Guru boleh mengadakan perjumpaan secara dalam talian dengan kumpulan murid yang telah ditetapkan melalui aplikasi yang sesuai.

Murid-murid boleh mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya secara dalam talian mengikut ketetapan waktu yang telah ditentukan oleh murid ataupun guru.

Guru harus menyelia, membimbing dan mentaksir murid sepanjang pelaksanaan kerja projek. Pelaporan projek boleh dihantar melalui aplikasi yang sesuai dan dikongsi secara dalam talian. Showcase (persembahan) boleh dilaksanakan secara dalam talian yang berbentuk video atau kaedah persembahan lain yang sesuai. Pihak sekolah boleh merancang dan melaksanakan showcase mengikut kreativiti sekolah.

Panduan Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian