Salah satu kelebihan bekerja kerajaan adalah diberikan beberapa elaun penjawat awam sebagai ‘duit tambahan’ selain daripada gaji, biarpun jumlahnya bukanlah begitu besar namun ia cukup bermakna untuk digunakan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.

Jenis-jenis pendapatan bagi Kakitangan Kerajaan adalah seperti berikut:

  • Gaji Pokok
  • Imbuhan Tetap
  • Bayaran Insentif
  • Bayaran Balik Perbelanjaan dan Tanggungjawab
  • Lain-lain elaun atau bayaran

Apa makna Gaji Pokok? Gaji pokok bermaksud mata gaji dalam struktur Jadual Gaji Minimun-Maksimun. Jika anda lihat pada penyata gaji anda, ada tertulis gaji pokok tersebut.

Elaun-elaun Perkhidmatan Awam yang diberikan adalah seperti berikut:

  • Bantuan Sara Hidup (COLA)
  • Imbuhan Tetap Perumahan
  • Imbuhan Tetap Khidmat Awam
  • Elaun keraian

Bantuan Sara Hidup atau selalu disebut sebagai (COLA) diberikan berdasarkan 3 tempat iaitu:

  • Kawasan A : RM300
  • Kawasan B : RM250
  • Kawasan C : RM150

Kawasan-kawasan ini adalah berdasarkan kos hidup di sesuatu tempat, kalau di tengah bandar metropolitan biasanya dikategorikan sebagai kawasan A, manakala B kawasan bandar biasa atau pinggiran bandar dan C kawasan luar bandar. Namun begitu pembahagian kawasan ini bukanlah tepat berdasarkan kos sara hidup sebenar, kerana jika berada di luar bandar sekalipun, kos hidupnya tetap juga tinggi malah mungkin lebih lagi.

Pihak Berkuasa Tempatan (Kawasan A): Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Petaling Jaya, Selayang, Sepang, Shah Alam, Subang Jaya dan Johor Bahru.

Pihak Berkuasa Tempatan (Kawasan B): Batu Pahat, Johor Bahru Tengah, Kluang Kulai, Muar, Alor Setar, Kulim, Langkawi, Sungai Petani, Kota Bharu, Alor Gajah, Bandar Melaka, Jasin, Nilai, Port Dickson, Seremban, Ipoh, Kuala Kangsar, Manjung, Teluk Intan, Taiping, Bentong, Kuantan, Temerloh, Kangar, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) atau digelar sebagai elaun perumahan. Elaun ini diberikan berdasarkan Gred Gaji mereka, berikut adalah jadualnya:

GRED GAJI KADAR ITP
DG29, 32, 34, 38, 40 RM300
DG41 DAN 42 RM300
DG44 RM400
DG48 DAN 52 RM700
DG54 RM900

Contoh di dalam jadual adalah gred bagi guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Jika diikutkan kos sebenar membayar sewa rumah adalah lebih tinggi lagi dari jumlah elaun yang diberikan, namun ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tanggungan yang dihadapi oleh penjawat awam.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan semula kadar bayaran elaun perumahan ini agar selaras atau hampir sama dengan kos untuk menduduki sesebuah rumah.

Kadar Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) pula adalah berdasarkan Gred, boleh rujuk jadual berikut:

ITKA 41 & KE BAWAH
ELAUN KERAIAN 44 & KEATAS
GRED GAJI  KADAR SEBULAN
DG29, DG32, DG34 RM160
DG38, DG40 RM220
DG41, DG42 RM300
DG44 RM400
DG48 RM550
DG52 RM600
DG54 RM800

Berdasarkan jadual pada Gred 44 ke atas adalah Elaun Tetap Keraian, mereka yang mendapat elaun keraian tidak diberikan elaun tetap khidmat awam.

Apakah maksud elaun keraian?

Elaun yang diberi kepada anggota sektor awam untuk menampung peningkatan kos sara hidup dan juga bertujuan memberi imbuhan kepada pegawai-pegawai yang menjawat jawatan strategik dalam perkhidmatan awam.

Jika kita lihat elaun keraian Jusa C mencapai sehingga RM2500.

Semoga info dan maklumat ini dapat membantu anda memahami elaun-elaun di dalam perkhidmatan awam. Elaun ini mungkin berubah dari masa ke semasa mengikut bajet kerajaan. Mungkin akan naik atau turun ia bergantung kepada keperluan dan tahap kemampuan perbelanjaan negara.