Home Berita Guru Tidak Ikut SOP

Guru Tidak Ikut SOP

2
0
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mendapati program perkhemahan sekolah di sebuah resort di Membakut, Sabah yang mengorbankan tiga pelajar semalam melanggar operasi prosedur standard (SOP) semasa ia dijalankan.

Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, berdasarkan hasil siasatan awal, kementeriannya mendapati laluan ‘jungle trekking’ itu tidak ada dalam program tersebut.
Menurutnya, kementeriannya masih menunggu laporan penuh daripada polis dan Jabatan Pendidikan negeri berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Kita belum memutus sebarang tindakan yang bakal diambil setakat hari ini. Sekiranya pihak penganjur mengikut 100 peratus surat pekeliling dan SOP yang ditetapkan, insiden ini dapat dielakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pra Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-46 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.
Hafiz Hamizan Rahman, 16; Daniel Norman, 16; dan Khuzaimi Zakaran, 17; yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, Sabah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di laluan ‘jungle trekking’ yang telah digenangi air di resort berkenaan kira-kira 9.30 pagi, semalam.
Mereka adalah sebahagian dari­pada 120 pelajar dan 30 guru pengiring yang mengikuti program perkhemahan di resort tersebut.


Kamalanathan sambil menyatakan kekecewaan meminta para guru supaya mengikut prosedur kerana garis panduan berkenaan digubal berdasarkan keperluan dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya laporan lengkap mendapati wujudnya unsur-unsur kecuaian.
Dalam perkembangan lain, berhubung kes seorang pelajar tingkatan dua dari Sekolah Menengah Bukit Sentosa, Hulu Selangor yang didenda untuk memakai sarung oleh guru disip­lin sekolah tersebut kerana memakai seluar sekolah yang tidak mengikut kod etika pakaian, beliau berkata, seseorang guru tidak boleh mengambil sebarang tindakan yang memalukan mana-mana pelajar.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa pelajar itu telah menarik balik laporan yang dibuat terhadap guru disiplin itu pada Jumaat lalu.

– UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here