Kota Bharu – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan penuh siasatan berhubung kes seorang pelajar yang masih trauma untuk ke sekolah akibat ditampar guru besar, di sini, Mac lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak berkuasa yang terlibat dalam kes itu.
Menurutnya, kementerian biasanya mengambil tindakan selepas selesai prosedur siasatan kes berkenaan.
“Saya ambil maklum berkenaan kes itu (kes murid ditampar guru besar). Kita sedang tunggu siasatan dan laporan,” katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
Terdahulu, seorang murid Tahun 5 trauma untuk ke sekolah selepas ditampar oleh guru besar di hadapan murid lain di sebuah dewan sekolah di sini Mac lalu.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 31, berkata, anaknya pulang dari sekolah sambil menangis sebelum memberitahu dia dan rakannya ditampar oleh guru besar kerana menghilangkan diri ke dalam tandas.
Menurutnya, pengetua tidak memberikan alasan munasabah apabila membawa anak dan rakannya masuk ke dewan sekolah sebelum memukul pipi mereka.
Nurul berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri di sini pada 30 Mac sebelum pihak sekolah memanggilnya untuk berbincang.
Beliau amat kecewa apabila pejabat pendidikan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kes yang menimpa anak saya.
Menurut Nurul, dia telah membuat laporan polis kedua berhubung kejadian yang berlaku di jabatan sama Rabu lalu.