Asrama merupakan tempat tinggal bagi pelajar-pelajar terutamanya yang tinggal jauh dari rumah keluarga.

KPM telah pun mengeluarkan SOP Pengurusan Asrama sebagai langkah pencegahan penularan virus Covid-19 yang telah melanda negara dan seluruh dunia.

Garis Panduan Pengurusan Asrama Sekolah ini digunakan sebagai rujukan kepada pentadbir, guru, warden, penyelia asrama dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di sekolah rendah, sekolah menengah, Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (rujukan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2020 bertarikh 4 Jun 2020), surat pekeliling ikhtisas, surat siaran dan arahan peraturan berkaitan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

Pengurusan Bilik (Dorm) Asrama

Asrama yang mempunyai ruang terhad boleh beroperasi secara bersyarat. Syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:

2.1.1. penggunaan bilik khas asrama dijadikan bilik tidur murid;

2.1.2. murid dibenarkan berulang alik dari kediaman ke sekolah dengan persetujuan ibu bapa/penjaga. Keutamaan untuk tinggal di asrama perlu diberikan kepada murid seperti berikut:

a. murid tinggal jauh dari sekolah;

b. murid daripada keluarga dalam kategori B40;

c. murid tidak dapat hadir ke sekolah jika tidak diberikan kemudahan tinggal di asrama;

d. murid tinggal di tempat yang sukar mendapatkan kemudahan pengangkutan dan terdapat ancaman keselamatan; atau

e. ibu bapa/penjaga berada/tinggal di luar negara.

Asrama sekolah yang berhampiran boleh digunakan untuk menempatkan murid dari sekolah berhampiran dengan persetujuan ibu bapa/penjaga. Penempatan tersebut diurus dan diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Tingkat atas dan bawah katil dua tingkat (double decker) boleh digunakan dengan penjarakan katil satu (1) meter. Penghadang fabrik selebar satu (1) meter dipasang di bahagian sisi kiri dan kanan katil dari lapik tilam tingkat atas ke lapik tilam tingkat bawah katil dua tingkat (double decker).


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Penghadang fabrik mesti disanitasi sekurangkurangnya sekali sehari. Sekiranya penjarakan katil satu (1) meter tidak dapat dilaksanakan, pihak sekolah hendaklah meletakkan penghadang antara katil dua tingkat (double decker) seperti almari dan lain-lain yang bersesuaian.

Pengurusan Dewan Makan Asrama

Makanan boleh disajikan menggunakan kaedah seperti berikut:

3.1.1. bufet;

3.1.2. berhidang secara individu; atau

3.1.3. berbungkus. Pekerja dewan makan/pramusaji sahaja dibenarkan untuk mencedok makanan.

Pekerja dewan makan/pramusaji mesti memakai pelitup muka dan sarung tangan semasa menyedia dan menghidangkan sajian.

Penggunaan skirting di meja makan tidak dibenarkan.

Pengurusan Murid Bergejala

Sekiranya terdapat murid yang bergejala, pihak sekolah perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan selanjutnya.

Ibu bapa/penjaga perlu dimaklumkan mengenai keadaan murid tersebut. Murid yang bergejala hendaklah diletakkan di dalam bilik sakit/kesihatan dan diasingkan daripada murid sakit yang lain sementara menunggu untuk dibawa mendapatkan rawatan.

GARIS PANDUAN PENGURUSAN ASRAMA SEKOLAH

Peraturan Keselamatan

Pelawat tidak digalakkan. Pelawat yang hadir mesti diimbas suhu badan dan perlu memakai pelitup muka semasa berjumpa dengan murid. Ibu bapa/penjaga yang mempunyai anak dengan imuniti badan yang rendah digalakkan membekalkan anak dengan pelitup muka secukupnya.

Pentadbir sekolah disaran memantau kesihatan murid bagi memastikan tiada murid yang bergejala sebelum kemasukan kohort murid yang baharu.

Pengurusan Perkhidmatan Dobi

Cucian pakaian dengan mesin basuh/perkhidmatan dobi di asrama adalah secara individu sahaja. Mesin basuh yang digunakan hendaklah dibersihkan atau disanitasi sebelum dan selepas digunakan.