PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) yang baru bagi penjawat awam selewat-lewatnya akhir tahun depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa garis panduan mengenai pelaksanaan skim baru tersebut akan dikeluarkan pada awal tahun depan.

“Kita akan keluarkan beberapa garis panduan awal tahun depan supaya sebelum akhir tahun 2024 kita boleh umumkan skim gaji baharu itu.

“Saya akui dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji bagi setiap 10 tahun dan ketika ini, skim lama sudah masuk tahun ke-12.

“Sebelum ini tidak ada kajian menyeluruh tetapi sekarang saya telah umum dan akan lakukan kerana ini akan mengambil masa memandangkan ia melibatkan semua jabatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023

Katanya, Kerajaan Madani di bawah pimpinannya mempunyai dasar jelas untuk meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun ini sebelum pilihan raya umum akan datang. Sebelum ini, Anwar memerintahkan penyediaan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) pada pertengahan tahun depan untuk memastikan struktur gaji baru bagi penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan bersetuju untuk memberikan bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak. Kerajaan juga menyediakan bayaran insentif sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam yang melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata, serta seluruh anggota beruniform.

Selain itu, bayaran insentif sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen, dan veteran tidak berpencen yang akan diterima pada akhir Februari 2024.