Cuti Rehat Khas (CRK) adalah cuti khusus yang diperuntukkan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Ini juga satu insentif khas untuk kemudahan khususnya guru-guru di sekolah.

Dalam perbentangan bajet 2018 pada bulan Oktober tahun lalu, satu pekeliling berkenaan Cuti Rehat Khas (CRK) telah diluluskan berkuatkuasa pada tahun 2018. Di dalam pekeliling ini, CRK telah dinaikkan kepada 10 hari setahun berbanding hanya 7 hari sebelumnya. Tinjauan mendapati, kebanyakan guru memberikan respon positif dan menyambut baik penambahan jumlah cuti ini.

Penambahan CRK  layak dinikmati oleh semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang mengajar di sekolah atau institusi mahupun yang diberi kemudahan cuti penggal/ semester. Guru sandaran/ guru interim dan guru berstatus kontrak juga layak memohon CRK.

Syarat dan Peraturan Permohonan CRK

Walaubagaimanapun, CRK ini tertakluk kepada syarat dan peraturan seperti berikut:

Bilangan hari CRK yang layak diambil oleh guru adalah secara prorata berdasarkan tempoh perkhidmatan. Guru boleh memohon Cuti Rehat Khas atas apa-apa sebab tertakluk kepada kelulusan oleh guru besar atau pengetua di sekolah masing-masing.

CRK adalah untuk kegunaan dalam tahun semasa sahaja. Baki Cuti Rehat Khas yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya.

Cuti Rehat Khas boleh diberikan melebihi dari bilangan yang layak secara prorata namun terhad kepada 10 hari setahun bagi tujuan-tujuan berikut:

  • Menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara rapat yang sakit tenat atau meninggal dunia;
  • Mengiringi ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan;
  • Menghadiri upacara keagamaan;
  • Dalam keadaan kecemasan atau kemalangan yang menimpa seperti kebakaran, banjir dan sebagainya;
  • Menghadiri majlis konvokesyen bagi guru atau ahli keluarga;
  • Mendaftar anak ke sekolah atau institusi pengajian tinggi (di dalam atau di luar negara);
  • Menunaikan fardhu haji sekiranya tempoh 40 hari tidak mencukupi;
  • Menghadiri kursus suai kenal bagi kursus luar kampus; dan
  • Perkahwinan guru atau anak guru tesebut.

Dalam kes-kes tertentu, guru dibenarkan memohon Cuti Rehat Khas yang melangkau tahun, di mana tempoh Cuti Rehat Khas tersebut melebihi daripada bilangan hari layak secara prorata, atas sebab bercuti yang tertakluk kepada tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, CRK yang diluluskan adalah tertakluk kepada peruntukan dan kelayakan mengikut tahun berkaitan.

Bagi guru yang telah diluluskan Cuti Rehat Khas melebihi dari bilangan yang dilayaki secara prorata namun kemudiannya tidak dapat memenuhi tempoh perkhidmatan yang melayakkan cuti tersebut pada tahun berkenaan, urusan pemotongan emolumen hendaklah dilakukan sebagai mengganti cuti yang telah terlebih diambil.

Berikut adalah pekeliling CRK: Pekeliling Perkhidmatan Bil 8 Tahun 2017

Pekeliling crk 10 hari

 

Pihak yang Layak Meluluskan CRK

Kelulusan terhadap CRK ini boleh dibuat oleh guru besar atau pengetua sekolah, ketua institusi di mana pegawai yang memohon berkhidmat, ataupun mana-mana individu yang diberi kuasa untuk meluluskan CRK.

Walaubagaimanapun, pihak yang meluluskan CRK bertanggungjawab untuk memastikan pengurusan pengajaran dan pembelajaran kekal berjalan dengan baik.

Permohonan CRK Melalui HRMIS

Isu-isu Yang Selalu Berlaku di Peringkat Sekolah:

CRK selepas cuti hujung minggu atau selepas cuti panjang. Kadangkala ada pentadbir yang meragui permohonan CRK guru apabila selepas cuti, kerana dikatakan menyambung cuti. Namun sebenarnya mungkin ia mempunyai sebab yang tidak dapat dielakkan.

CRK Hak Guru atau Hanya Keistimewaan?

Ramai yang marah apabila CRK tidak diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan menyangkan ia adalah hak guru untuk memohonnya, Namun hakikatnya CRK merupakan keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam untuk digunakan ketika memerlukannya, dan atas kelulusan Ketua Jabatan. Ketua Jabatan juga perlulah mempunyai sikap bertimbang rasa terhadap orang di bawahnya.

 

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u