Menteri Pendidikan dalam status di Facebook beliau telah menerangkan berkenaan 6 Operasi Bantuan Sekolah-sekolah daif di Sarawak. Berikut adalah info dari beliau:

Ini ialah ringkasan jawapan saya di Sidang Parlimen pada 31 Julai 2018 terhadap soalan-soalan berkaitan bantuan yang akan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia kepada sekolah-sekolah daif di Sarawak.

1. Untuk pengetahuan umum, sebanyak 3,000 sekolah daif yang wujud di negara ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha sebaik mungkin untuk membaikpulih sekolah-sekolah ini dalam masa lima tahun tempoh pentadbiran kami.

2. Saya sendiri telah pun melawat dan akan terus mengadakan siri lawatan dalam masa terdekat dan dari semasa ke semasa ke sekolah-sekolah daif untuk melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan dan mendapatkan input langsung rintihan pendidik dan pelajar di sekolah-sekolah berkaitan.

3. Bagi projek sekolah daif Sarawak tahun 2018 yang melibatkan 116 sekolah, rundingan harga telah selesai dan telah dimuktamadkan dalam mesyuarat lembaga perolehan dan arahan kerja telah pun dikeluarkan. Daripada jumlah 116 ini, 41 projek telah siap dan 7 projek telah mencapai kemajuan lebih 80 peratus.

4. Sehubungan dengan itu juga, peruntukan khas tahun 2018 sebanyak RM35.74 juta telah diberikan kepada negeri Sarawak untuk pembaikan dan penyelenggaraan di 853 buah sekolah. Penyaluran peruntukan dibuat berdasarkan keutamaan skop kerja yang disyorkan oleh JPN serta tertakluk kepada jumlah peruntukan keseluruhan yang diterima oleh pihak kementerian.

5. Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk perolehan harta modal yang lain termasuk perabot sekolah berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh JPN.

6. Berhubung dengan bekalan elektrik pula, KPM sedang mengusahakan bekalan elektrik ke sekolah di Sarawak secara berfasa dengan melibatkan belanja sebanyak RM400 juta dalam empat fasa di mana ia termasuk memasang grid elektrik kepada sekolah-sekolah yang berdekatan dan juga dengan memasang sistem hibrid solar. KPM menyasarkan agar semua sekolah yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik agar pembelajaran murid-murid dapat diteruskan sebaiknya.

7. Begitu juga dengan pembekalan air yang dirawat, KPM menyasarkan menjelang tahun 2019, kebanyakan sekolah-sekolah di Sarawak akan mendapat air yang dirawat.

8. Dalam masa yang sama, kita juga tidak mengetepikan isu sekolah bergelap di Sarawak seperti mana yang dibangkitkan. Kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik ke talian grid awam diserahkan untuk dilaksanakan oleh JKR Elektrik Sarawak. Ini selaras dengan arahan perbendaharaan bahawa semua jabatan bukan teknik hendaklah mendapat perkhidmatan daripada jabatan teknik iaitu Jabatan Kerja Raya atau Jabatan Pengairan dan Saliran bagi melaksanakan semua projek kerja tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

9. Untuk pengetahuan lanjut, JPN Sarawak telah merangka satu pelan pembangunan bagi menangani isu sekolah-sekolah daif, sekolah dua sesi dan isu sekolah padat di Sarawak agar selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan juga Sarawak Transformation Plan (STP) 2016-2030.

10. Permohonan JPN Sarawak untuk pembinaan sebuah sekolah baharu di Parlimen Puncak Borneo telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Tabar Said Semban dengan skop 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan.

11. Sebagai Menteri Pendidikan, saya sangat berterima kasih kepada YB-YB yang sangat cakna tentang pendidikan negara dengan mengutarakan masalah dan isu-isu yang perlu KPM ambil perhatian. Malaysia Baharu ialah Malaysia Bersuara. Saya mengambil maklum semua yang diutarakan dan akan diteliti sehabis mungkin, dan akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

12. Sama-samalah kita berganding bahu demi menjanjikan masa depan yang lebih membahagiakan buat anak-cucu kita dan buat generasi-generasi seterusnya. Pendidikan adalah untuk kita semua.

13. Akhir sekali, ingin saya memetik kata-kata Nelson Mandela, “Pendidikan ialah senjata yang paling berkuasa untuk mengubah dunia.”

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u