Guru merupakan penjawat awam yang paling ramai di Malaysia, mengikut data Kementerian Pendidikan Malaysia jumlah guru adalah lebih 400 ribu, termasuk sekolah rendah dan menengah.
Bekerja sebagai guru sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Anda bukan sahaja perlu berdepan dengan karenah murid-murid di sekolah, ibu-bapa datang menyerang sekolah, bahkan turut perlu berhadapan dengan kecaman di media sosial.
Sampaikan guru berniaga secara online pun dicemburui. Mungkin mereka kurang senang untuk bersaing dengan guru-guru yang turut mempromosikan produk di media sosial. Sedangkan rezeki itu sudah tertulis, kepada siapa, bila dan di mana.
Isu berkenaan menjalankan perniagaan sebenarnya bukan terhad kepada guru sahaja, bahkan penjawat awam lain pun turut berniaga, tambahan lagi apabila wujudnya platform seperti Facebook dan IG.
Pekeliling berkenaan membuat pekerjaan sampingan atau berniaga sebenarnya telah dikeluarkan, setiap Penjawat Awam perlulah mendapat kebenaran dari Ketua Jabatan, dan perlu memastikan ia tidak mengganggu tugas hakiki sebagai kakitangan awam.
Memandangkan kos sara hidup, harga rumah, kereta, dan perbelanjaan bulanan yang tinggi, memang ramai yang membuat kerja sampingan demi menampung kos tersebut, jika nak mengharapkan gaji semata-mata mungkin tidak mencukupi.
Kita percaya guru yang mempunyai pendapatan sampingan ini juga tidak kedekut untuk mengeluarkan wang sendiri untuk kegunaan murid-murid, menghias kelas, dan sebagainya. Malah ada guru yang telah habis ribuan ringgit untuk mengecat, menukar langsir, membuat mural semata-mata untuk memastikan murid-murid berada dalam keadaan selesa.
Oleh itu, amatlah besar harapan kita agar masyarakat tidak memandang serong terhadap guru, khususnya yang menjalankan perniagaan sama ada secara atas talian atau luar talian. Sama-sama kita mengamalkan budaya matang dan sejahtera.









