Ramai yang bertanya sebagai Penjawat Awam bolehkah menjalankan perniagaan atau memiliki syarikat sama ada Sdn. Bhd. atau Enterprise?

Adakah mereka yang menjalankan perniagaan ini dikira telah melanggar peraturan tatatertib sebagai penjawat awam?

Tidak dinafikan ramai di kalangan kakitangan kerajaan turut sama menjalankan perniagaan bagi menampung kos hidup yang tinggi, perbelanjaan harian, belanja persekolahan anak-anak, dan kos harga rumah yang semakin meningkat.

Berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ada dinyatakan dalam Peraturan 5 : Pekerjaan Luar, Ketua Jabatan boleh meluluskan permohonan dengan syarat berikut:

  1. Tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa dikehendaki menjalankan tugas rasminya.
  2. Tidak menjejaskan kebergunaan pegawai sebagai penjawat awam.
  3. Tidak bercanggah dengan kepentingan jabatan atau tak konsisten dengan kedudukan pegawai.

Berdasarkan peraturan di atas mana-mana Pegawai Awam yang bercadang untuk melakukan pekerjaan luar hendaklah dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya.

Bagaimana pula dengan perniagaan yang dijalankan secara atas talian (online) seperti di Media Sosial Facebook, Instagram atau WeChat? Ia juga sebenarnya disifatkan melakukan pekerjaan luar.

Ia berdasarkan surat dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Pemantauan Ke Atas Pegawai Awam Yang Menjalankan Perniagaan Dalam Talian yang telah dikeluarkan pada 2014.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Penjawat awam berniaga online

Bagi guru juga ia tertakluk kepada peraturan di atas, dan terdapat 2 lagi pekeliling dari KPM yang berkaitan iaitu:

  1. Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 1 Tahun 1999: Penglibatan Pegawai dan Kakitangan di Bawah Kementerian Pendidikan Dalam Pekerjaan Luar (bagi jenis pekerjaan selain daripada Guru Tuisyen atau Tenaga Pengajar Sambilan); dan
  2. Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil Tahun 2006: Garis Panduan Kelulusan Melakukan Pekerjaan Luar (bagi jenis pekerjaan Guru Tuisyen atau Tenaga Pengajar Sambilan)

Esok akan dikongsikan pula panduan untuk membuat permohonan kebenaran melakukan tugas luar dari Ketua Jabatan. Ada borang yang perlu diisi dan perlu dilampirkan beberapa dokumen yang berkaitan.

Walau apa pun kerja tambahan yang kita lakukan, ia hendaklah halal, mematuhi peraturan dan undang-undang agar tidak menggangu tugas hakiki.

Semoga maklumat ini dapat membantu kita semua dalam memastikan segala peraturan sebagai Penjawat Awam dapat dipatuhi.