Setiap tahun Guru Kelas silih berganti, ada yang sudah berpengalaman, ada yang baru, ada juga yang pertama kali memegang jawatan dan ada juga yang tetap sampai pencen.
Beberapa hari lepas ada cikgu yang melaporkan mereka didesak oleh penjaga untuk membuat Group Whatsapp Ibu bapa bersama guru kelas.
Sebenarnya ada kebaikan dan keburukannya, jika dijadikan sebagai medium perhubungan profesional, maka ia akan menjadi tempat untuk berkomunikasi yang baik.
Namun jika disalahgunakan ia akan menimbulkan masalah kepada ahli kumpulan terutamanya Guru Kelas.
Antara kesalahan yang selalu dilakukan di dalam Group Whatsapp Penjaga adalah:
Menjadikan ia tempat untuk berniaga, cuba anda bayangkan, orang lain hendak dapatkan info tentang hal kelas dan sekolah, tetapi dihujani iklan yang tidak berkaitan. Bukan seorang dua tetapi ramai yang seperti itu.
Suka post perkara yang tidak berkaitan, dia tidak berniaga tetapi mesej dihantar mengganggu orang lain. Walaupun mesej itu baik, seperti nasihat, iklan jawatan kosong atau sebagainya, namun bukan di situ tempatnya, ada banyak group yang lain boleh dihantar.
Menjadikannya tempat mengadu masalah anak. Jika anda guru di sekolah rendah, guru tahun 1 khasnya, anda akan menerima limpahan aduan di dalam group tersebut. Anak hilang pensil, anak hilang pemadam, botol air ada jumpa tak, tolong cari siapa usik anak, dan bermacam-macam lagi.
Suka hantar mesej malam-malam, lepas tu bila cikgu tak reply dia bagi tanda soal ??? Sampai 10 kali. Cikgu kadang-kadang mana nak tengok handphone 24 jam. Kita juga ada keluarga, ada kehidupan yang mahu dinikmati.
Bergaduh dalam group dengan penjaga lain, ini masalah berat, orang macam ni kick terus pun tiada masalah. Apabila post sesuatu pastikan menjaga sensitiviti orang lain di dalam tu, jaga juga bahasa dan adab. Hormati sesama lain yang berbilang bangsa dan agama.
Memberi arahan kepada guru. Ada segelintir ahli kumpulan yang suka mengarahkan guru, merasakan lebih tahu dari guru tentang hal sekolah. Lalu memaksa guru ‘buatlah macam ni macam tu’, ini tidak sepatutnya berlaku.
Guru-guru jika nak buat group Whatsapp seeloknya masukkan peraturan-peraturan terlebih dahulu, supaya semua berhati-hati ketika menghantar mesej.
Contoh Peraturan Group Whatsapp Ibu Bapa:
Semua ahli group hendaklah mematuhi peraturan dan larangan berikut:
- Ibu bapa atau penjaga tidak diwajibkan untuk berada di dalam group ini, boleh “left” sekiranya ia menggangu anda.
- Semua ahli group dilarang menyebarkan sebarang iklan didalam group ini.
- Wajib menjaga adab dan keharmonian sesama ahli kumpulan.
- Tidak dibenarkan mengadu hal-hal masalah anak atau sekolah di sini.
- Tidak dibenarkan bertanya hal seperti kerja sekolah, kerana anak sepatutnya perlu tahun kerja yang diberikan. Jika tidak tahu terus tanya pada rakan-rakan secara peribadi.
- Apa-apa peraturan yang sesuai anda boleh tambah sendiri mengikut keperluan anda.