Home Berita Pendawaian Elektrik 2086 Sekolah Berusia Lebih 20 Tahun

Pendawaian Elektrik 2086 Sekolah Berusia Lebih 20 Tahun

9
0
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memohon sebanyak RM479.36 juta daripada kerajaan bagi menaik taraf sistem pendawaian elektrik untuk 2,086 sekolah seluruh negara yang mempunyai sistem pendawaian melebihi 20 tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, peruntukan itu dipohon melalui ‘Rolling Plan 2’, yang dilakukan secara berfasa, untuk diluluskan sebelum dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).
“Kementerian Pendidikan sedar tentang risiko yang dihadapi oleh sekolah akibat sistem pendawaian elektrik yang telah menjangkau melebihi 20 tahun.
“Sebagai langkah awal Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti sekolah yang mempunyai sistem elektrik melebihi 20 tahun dan sejumlah peruntukan dipohon untuk menaik taraf sekolah tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (BN-Hulu Rajang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Wilson ingin tahu apakah tindakan susulan yang diambil kementerian bagi melihat semula sistem pendawaian elektrik sekolah khususnya di Sarawak susulan kejadian Sekolah Kebangsaan Long Busang musnah dijilat api akibat pendawaian elektrik yang tidak teratur, Ogos lepas.
Mengenai isu menaik taraf sekolah daif di Sarawak, Sin Woon berkata, peruntukan khusus disediakan dalam Bajet 2017 bagi menaik taraf 120 sekolah daif seluruh negara termasuk 30 sekolah di Sarawak.
“Dengan peruntukan ini, kita harap sekolah-sekolah uzur ini bukan hanya dinaik taraf tetapi juga disediakan dengan bekalan elektrik dan air bersih bagi yang belum mempunyai bekalan tersebut,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here