Kementerian Pendidikan sedang mengumpul idea dan pandangan daripada kalangan guru dan ahli akademik seluruh negara bagi menangani masalah salah laku pelajar yang semakin membimbangkan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata untuk tujuan itu, guru besar dan para guru diminta memberikan pandangan supaya sahsiah dan keperibadian diri dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan.

“Semua boleh berikan pandangan termasuk guru besar, guru, guru berprestasi tinggi, guru sementara, guru di bandar mahu pun di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas program Guru Pembina Negara Bangsa Peringkat Parlimen Bakri, Muar, Ledang dan Pagoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, di sini hari ini.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Katanya guru yang berkhidmat lebih 25 tahun amat dialukan memberikan pandangan memandangkan mereka lebih berpengalaman dan memahami apa yang berlaku di sekolah.

Beliau berkata para guru boleh menggunakan pelbagai medium untuk mengemukakan idea dan pandangan kepada kementerian termasuk e-mel dan pernyataan bertulis.

-Bernama

Kita menyambut baik usaha KPM dalam memastikan pendapat daripada guru yang berada di sekolah diambil kira, memandangkan guru lah yang berhadapan dengan situasi sebenar dan lebih memahami pelajar.

Kita juga percaya ramai yang menyedari pendekatan yang dibawa oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sangat proaktif dan lebih memahami situasi guru. Kepada guru-guru yang ingin memberi idea dan pendapat bolehlah menghantar emel ke KPM atau mungkin juga boleh gunakan medium yang digemari ramai seperti komen di Facebook beliau.