Nikah Budak 11 Tahun, Pasangan Diminta Hadir Mahkamah

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyiasat secara menyeluruh berhubung isu budak perempuan berusia 11 tahun dari Gua Musang, Kelantan yang didakwa berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun di Thailand, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata telah menerima laporan berhubung kes itu dan mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan bertemu ibu budak perempuan itu.

“Buat masa ini, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan kerana ia melibatkan Enakmen Undang-Undang Syariah negeri.

“Selain itu, kita kena ambil kira semua aspek mengapa ia berlaku. Adakah ia disebabkan oleh masalah kemiskinan, pendidikan, kekeluargaan mahupun masalah lain yang berada di sekeliling budak terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di sini, hari ini.

Kes perkahwinan lelaki berumur 41 tahun dengan budak perempuan 11 tahun itu tular di laman sosial semalam selepas perkara itu dikongsi isteri kedua lelaki terbabit.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata sekiranya benar berlaku akad dan nikah sama ada di dalam atau luar negara, maka pasangan itu perlu hadir mendaftarkan perkahwinan mereka di mahkamah berkenaan.

“Dari segi hukum syarak sekiranya dipersetujui wali, pernikahan boleh berlaku dalam usia seawal enam tahun atau sudah baligh, namun di sisi undang-undang negara ini tetap salah kerana pasangannya belum mencapai usia 18 tahun.

Lelaki terbabit didakwa bernikah dengan budak perempuan itu di Thailand pada 4 Syawal lepas (18 Jun) dan hanya diketahui isterinya itu, yang berumur 34 tahun, selepas dimaklumkan rakannya yang berkongsi foto perkahwinan suaminya.

– BERNAMA

1 thought on “Nikah Budak 11 Tahun, Pasangan Diminta Hadir Mahkamah”

  1. Dunia dah terbalik, yang halal kecoh satu dunia, Tapi peliknya yang kahwin sejenis, lgbt di biarkan terus .. bab kata lemang budak kampung pasir berdegung ” ada kau kisah”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top