Kita selalu mendengar pelbagai istilah dalam Kerajaan, apakah yang dimaksudkan dengan kerja kerajaan? Apakah maksud Badan Berkanun? Sebenarnya terdapat beberapa bahagian di dalam struktur pewujudan jawatan.

Contohnya seperti, Badan Berkanun, adakah ia dikira kerja kerajaan? Jadual di bawah merupakan istilah atau terma yang perlu difahami untuk membezakan badan-badan yang berada di negara kita.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


BIL TERMA MAKSUD
1 Kementerian Mengikut Pekeliling Am Bil. 2/82, Kementerian adalah organisasi yang diwujudkan untuk menggubal dasar, merancangkan program-program dan melaksanakannya di bawah arahan dasar seorang menteri;
2 Kementerian Bersepadu Kementerian Bersepadu ialah kementerian di mana unit/ bahagian yang tidak mempunyai kuasa tersendiri dari segi urusan pentadbiran, kewangan dan ketua unit/ bahagian itu tidak menjadi pegawai pengawal di dalam urusan kewangan. Contoh Kementerian Bersepadu ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan.
3 Kementerian Tidak Bersepadu Kementerian Tidak Bersepadu ialah kementerian yang salah satu unit/ bahagiannya menjalankan fungsi-fungsi bersendiri dari segi urusan pentadbiran, kewangan dan kakitangan dan ketua unit/ bahagian itu adalah menjadi pegawai pengawal dalam urusan kewangannya. Contoh Kementerian Tidak Bersepadu ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri.
4 Jabatan Dari segi susunan pentadbiran, jabatan adalah merupakan agensi pelaksana bagi sebuah kementerian atau pentadbiran negeri.
5 Perbadanan Awam (Public Corporations) Perbadanan-perbadanan awam (public corporations) atau agensi-agensi separa kerajaan (semi-government agencies) adalah ditubuhkan di bawah undang-undang, sama ada diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Misalnya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah sebuah Badan Berkanun Persekutuan dan Perbadanan Kemajuan/ Pembangunan Ekonomi Negeri ialah sebuah Badan Berkanun Negeri.
6 Badan-Badan Berkanun Badan-badan berkanun adalah sebuah agensi separa kerajaan yang ditubuhkan di bawah peruntukan sesebuah Akta Parlimen atau Enakmen Dewan Undangan Negeri.
7 Badan-Badan Tidak Berkanun Badan-Badan Tidak Berkanun ialah Syarikat-Syarikat Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125). Badan-badan ini adalah bersifat dan beroperasi sebagai syarikat perniagaan yang biasa, hanya dari segi hak milik sahaja dipunyai oleh Kerajaan.
8 Pihak Berkuasa Tempatan / Penguasa Tempatan Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Kerajaan Tempatan ditafsirkan sebagai mana-mana Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, mengikut mana-mana berkenaan, dan berhubungan dengan Wilayah Persekutuan ertinya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilantik di bawah seksyen 4 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].

Semoga panduan di atas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada anda, khususnya kepada penjawat awam dan juga kepada warga Malaysia.