NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pelbagai pendekatan dan mekanisme untuk meningkatkan semangat dan motivasi guru bagi mengelakkan mereka daripada terus memilih untuk bersara awal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa KPM memandang serius isu ini namun tetap memberikan ruang sepenuhnya kepada guru terbabit untuk membuat keputusan selepas intervensi dilakukan.
“Kita sentiasa membuat pelbagai mekanisme untuk memberikan semangat kepada mereka, ini merangkumi program yang bersifat psikometrik, sokongan dan dukungan begitu juga dengan pengurusan berkaitan dengan kenaikan pangkat.
“Jadi dari semasa ke semasa sememangnya ada program itu, tetapi saya fikir yang hendak bersara awal maknanya mereka memilih bersara awal atas alasan kuat seperti masalah kesihatan, tidak berminat (meneruskan kerjaya) serta berkeluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Malam Sungai Duri di sini semalam.
Fadhlina juga menyatakan bahawa isu ribuan guru memilih untuk bersara awal diyakini tidak akan menjejaskan sistem pendidikan negara kerana ia adalah isu ‘datang dan pergi’.
Beliau menjelaskan bahawa pengisian kekosongan jawatan guru di seluruh negara kini berada pada tahap 98 peratus melalui kerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Terdahulu, Fadhlina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memaklumkan bahawa ketidakminatan untuk meneruskan kerjaya telah dikenal pasti sebagai punca utama ribuan guru memilih untuk bersara awal sejak tiga tahun lepas.
Menurutnya, keadaan ini mewakili 72.36 peratus daripada 4,300 hingga 6,300 guru yang memilih untuk bersara awal dalam tempoh yang sama.