KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Pelaksanaan kelas tambahan atau program akademik sepanjang cuti persekolahan bukan atas arahan pihak pentadbir sekolah sebaliknya adalah permintaan atau persetujuan daripada guru atau pelajar sendiri. 

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Selangor, Sukimin Juki ketika dihubungi Bernama berkata, pada dasarnya beliau menyambut baik saranan NUTP itu agar pelajar dan guru ‘direhatkan’ daripada sebarang program pada musim cuti sekolah, namun pelaksanaan program atau kelas tambahan kadang kala di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah.

“Sesetengahnya program tu guru sendiri yang nak buat. Ada yang gurunya penduduk tempatan, hubungan rapat, tambah sekarang ada group media sosial…ada setengah tu tak minta dengan kita,dia buat sendiri,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah tidak boleh menghalang kelas tambahan yang ingin dianjurkan kerana ia atas kerelaan hati guru dan pelajar tersebut yang memerlukan kelas tambahan walaupun pada musim cuti sekolah. 


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock dalam satu kenyataan baru-baru ini menyarankan murid-murid dan guru-guru memanfaatkan cuti persekolah untuk melakukan aktiviti riadah atau aktiviti kesukaan mereka agar tekanan yang dialami sepanjang waktu persekolahan dapat dilupakan seketika. 

Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hassan pula bersetuju dengan kenyataan NUTP yang menurutnya dapat memberi impak positif kepada minda dan pemikiran pelajar. 

“Memang ada manfaatnya…murid-murid dan guru diberi rehat secukupnya, lepas rehatnya ni mungkin datang motivasi bergerak cergas semula. Saya menyokong cadangan NUTP agar jangan ada apa-apa beban diberikan sepanjang cuti ini…beri tempoh rehat sepenuhnya,” katanya. 

Beliau berharap para pelajar dapat memanfaatkan cuti persekolahan kali ini dengan mengeratkan silaturrahim sesama mereka sempena sambutan Aidilfitri tidak berapa hari lagi. 

Cuti persekolahan bermula 24 Mei lepas sehingga 9 Jun ini bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala bagi negeri-negeri lain cuti persekolahan bermula 25 Mei hingga 10 Jun. 

— BERNAMA