SEGAMAT: Seorang bapa mendakwa anaknya dipukul oleh seorang guru lelaki menggunakan buku teks di bahagian kepala dan tengkuk. Azman Abd Aziz yang juga peniaga di kantin sekolah anaknya kesal dengan tindakan guru tersebut yang dikatakan memukul tanpa alasan munasabah.
Anaknya Nor Aiman 12 tahun sering mengadu kepadanya sakit kepala, dan trauma tidak mahu ke sekolah.
Menurutnya, dia juga telah membawa anaknya itu membuat pemeriksaan doktor dan kemudian membuat satu laporan di Balai Polis Tenang Stesen, Ahad lalu akibat tidak berpuas hati dengan tindakan guru tersebut.
Beliau bimbang kejadian tersebut akan menjejaskan persiapan anaknya untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal tiba dan mungkin akan meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya dan anaknya itu.
“Saya difahamkan, anak saya dipukul apabila guru Bahasa Inggeris tersebut tidak berpuas hati dengan jawapan anak saya dan mengatakannya berbohong sebelum memukul kepala dan belakang tengkuk anak saya menggunakan buku teks.
“Sebagai bapa saya tidak kisah jika anak saya dihukum guru sekiranya melakukan kesalahan dan hukuman itu bukan memukul di bahagian kepala yang merupakan bahagian sensitif,” katanya.
Beliau berharap kes ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak bertanggungjawab, dan mahukan guru tersebut disiasat, kerana anaknya bukanlah mangsa yang pertama katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat ketika dihubungi berkata, beliau telah mengarahkan pegawai PPD Segamat untuk melakukan siasatan.
“Kita akan melihat dahulu dakwaan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil dan sekiranya betul dakwaan ini, ia tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan profesion perguruan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
zaman sekarang cikgu dah tak boleh sentuh students langsung..tak sama macam dulu2