Kementerian Pendidikan Malaysia akan mempertimbangkan cadangan untuk memberi ruang kepada Guru untuk menilai Guru Besar atau Pengetua.

Dr Maszlee Malik berkata, sebelum ini Guru Besar dan Pengetua biasanya dinilai oleh pihak PPD sahaja untuk membolehkan mereka mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan.

Manakala guru-guru pula dinilai oleh barisan pentadbir, di mana adanya Penilai 1 dan Penilai 2. Ada sesetengah sekolah melantik Penilai 1 dari kalangan guru senior kerana jumlah guru yang ramai.

Terdapat beberapa isu apabila guru dinilai oleh pentadbir kebelakangan ini, seperti penilaian diambil mudah, pilih kasih, markah tidak relevan, markah ugutan dan sebagainya.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Penilaian 360° sebenarnya pernah dicadangkan beberapa tahun lepas, di mana mereka yang berada di bawah boleh menilai orang atasan yang menjadi ketua mereka. Sebagai contoh, guru biasa menilai Guru Besar, atau Guru biasa menilai Guru Biasa yang lain. Namun Instrumen penilaiannya mungkin berbeza mengikut jawatan yang mereka pegang.

Sekiranya kaedah penilaian ini diguna pakai, mungkin akan memberi beberapa impak dari sudut kualiti kerja kedua-dua pihak, dari segi positifnya penilaian akan menjadi lebih telus berdasarkan kualiti kerja. Pentadbir juga mungkin akan ‘berhati-hati’ dalam memberi markah penilaian kepada guru-guru.

Namun dikhuatiri juga akan berlaku ketidak seimbangan dalam memberi markah. Mungkin boleh dikaji beberapa peratus dinilai oleh guru, dan bakinya dinilai oleh pihak PPD.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam telah merasmikan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Bersama Komuniti Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di Simpang Renggam.