GEORGE TOWN: Sudah tiba masanya tanggungjawab guru dan kakitangan sekolah melangkaui pagar sekolah, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng susulan kes buli yang membawa kepada kematian.

 Beliau berkata sekolah perlu mempunyai sistem yang menjejaki setiap kes buli dan langkah susulan yang diambil. Lim berkata dengan cara itu setiap kejadian buli boleh dijejaki. Lim berkata di peringkat permulaan para guru dan kakitangan sekolah mesti mengawasi para pelajar untuk sebarang kesan lebam pada tubuh.



“Apabila sesuatu berlaku di luar kawasan sekolah mereka kata tiada kaitan dengan mereka. Kes itu berlaku di luar kawasan sekolah. “Saya diberitahu ada pegawai polis ditugaskan untuk mengawasi setiap sekolah. Pihak berkuasa sekolah mesti melaporkan kejadian buli kepada pegawai polis bertanggungjawab dan kemudian mereka boleh mewajarkan tindakan apa yang perlu diambil.” 

“Apa yang paling ketara ialah ketiadaan sistem yang merekod kejadian buli di sekolah,” kata Lim, ketika ditemui di majlis penghormatan terakhir untuk T Nhaveen, seorang mangsa serangan ganas, di Batu Gantong di sini. Sebelum itu, Lim dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memberi penghormatan terakhir kepada Nhaveen dan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa.

 Lim berkata tatacara operasi standard diperlukan untuk menangani kes buli di sekolah. “SOP itu memastikan sekolah bertanggungjawab ke atas pelajar mereka. Kemudian sekolah terpaksa melaporkan kejadian buli kepada polis.

 “Apabila mereka dipaksa melaporkan kepada polis, kita akan tahu mengapa tiada tindakan diambil. “Mesti ada sistem jejak, supaya sekolah boleh dipertanggungjawabkan jika tiada tindakan diambil,” katanya.

SUMBER: FMT

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u
SILA KONGSIKAN KEPADA RAKAN-RAKAN DENGAN MENEKAN BUTANG DI BAWAH: