Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun mengeluarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah, yang dilengkapi SOP Pembukaan Sekolah bagi semua masyarakat khususnya guru-guru, pentadbir, pelajar dan murid-murid.

Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pegawai bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah tentang pengurusan sekolah dengan mengambil kira langkah-langkah bagi mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama dengan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran dan arahan serta peraturan berkaitan yang sedang berkuat kuasa dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang berdaftar dengan agensi kerajaan yang lain, sekolah persendirian dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan ini.

Garis panduan ini ialah dokumen induk yang perlu dirujuk bagi pengoperasian institusi pendidikan. Sebarang tambahan atau perubahan maklumat akan dijadikan tambahan (annex) kepada dokumen ini.

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020. Seterusnya, tempoh PKP telah dilanjutkan kepada beberapa fasa termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei 2020.

Sepanjang tempoh ini, kerajaan telah menetapkan bahawa semua institusi pendidikan ditutup. Sehubungan dengan itu, KPM telah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2020:

Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Akibat Penularan Jangkitan COVID-19 bertarikh 27 Mac 2020 bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

KPM telah membuat beberapa sesi libat urus bersama-sama agensi berkepentingan serta pemegang taruh berkenaan pengurusan sekolah dalam menghadapi COVID-19. KPM telah menyediakan satu garis panduan pengurusan sekolah dan disimulasikan kebolehlaksanaannya.

Garis panduan ini juga telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri.

KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka. Ini bertujuan untuk memastikan pengurusan sekolah dapat membuat persediaan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Penjagaan kesihatan dan amalan penjarakan sosial adalah amat penting dalam pengurusan sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah.

GARIS_PANDUAN_PENGURUSAN_PEMBUKAAN_SEMULA_SEKOLAH_4_JUN_2020_

Peranan dan Tanggungjawab

Pentadbir Sekolah

5.1.1. memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi;

5.1.2. memastikan murid, guru dan warga sekolah yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan selamat;

5.1.3. memberikan penerangan dan pendidikan berterusan kepada murid, guru dan warga sekolah mengenai penularan jangkitan COVID-19 dengan memperincikan kepentingan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer), penggunaan pelitup muka apabila perlu serta kepentingan amalan penjarakan sosial;

5.1.4. memastikan murid, guru dan warga sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan;

5.1.5. memastikan murid mendapat akses kepada PdP dengan sokongan dan kerjasama JPN, PPD, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi-agensi yang berkaitan;

5.1.6. memantau PdP yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru;

5.1.7. melaporkan perkembangan pembelajaran murid kepada ibu bapa/penjaga; dan

5.1.8. membuat keputusan untuk menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM serta mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan seperti PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Guru

5.2.1. menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) seperti yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran;

5.2.2. melaksanakan PdP yang bersesuaian dengan kesediaan murid dan situasi semasa;

5.2.3. mengingatkan murid untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial; dan

5.2.4. memaklumkan pentadbir sekolah jika terdapat murid yang bergejala.

Ibu Bapa/Penjaga

5.3.1. memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah;

5.3.2. membantu anak/anak jagaan belajar mengikut kemampuan ibu bapa/penjaga; dan

5.3.3. memberikan motivasi kepada anak/anak jagaan untuk terus belajar.