Dasar 90:10 diumumkan buat pertama kalinya pada tahun 2015. Pada asasnya, ia bertujuan baik iaitu untuk menjaga kepentingan anak tempatan bagi mengisi jawatan guru di Sabah dan Sarawak.

Dasar ini menetapkan 90 peratus jawatan pendidik di Sabah dan Sarawak akan diisi oleh anak tempatan manakala selebihnya guru dari semenanjung yang berkahwin atau menetap di Borneo. Mengikut perancangan awal, dasar ini akan dapat dicapai menjelangnya tahun 2018 iaitu selama tiga tahun.

Namun, sehingga pertengahan tahun 2018, objektif asal pengenalannya masih belum tercapai sepenuhnya. Permasalahan / Kesan Sejak dasar ini diperkenalkan, tiada lagi pengambilan guru baru dari semenanjung yang dihantar mengajar ke Sabah dan Sarawak. Hal ini menyebabkan sukarnya guru semenanjung yang telah lama berkhidmat di Borneo untuk berpindah balik kerana tiadanya pergerakan masuk yang baru.

Kebanyakan guru baru ini dihantar mengajar ke negeri asal mereka. Sememangnya itu rezeki mereka tetapi situasi ini menyebabkan tiadanya kekosongan tempat yang ditinggalkan kepada kami. Apabila permohonan untuk berpindah tidak berjaya, situasi ini memberi banyak implikasi negatif kepada guru tersebut.

Selain harga tiket kapal terbang yang melampau terutamanya pada musim perayaan, guru tersebut menghadapi kesukaran untuk balik ke semenanjung disebabkan masalah pengangkutan dan talian telefon yang terhad.

Sudah ada kes kecemasan seperti orang tersayang yang meninggal dunia dan guru tersebut hanya tiba ke kampung selepas upacara pengebumian disebabkan faktor jarak ini. Solusi Pertama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak perlu memperbanyak pengambilan guru interim tempatan.

Walaupun jurusan mereka tidak berlatarbelakang pendidikan, namun Kursus Dalam Cuti (KDC) mampu untuk memberi pengetahuan dan kemahiran menjadi guru yang baik. Tambahan pula, keperluan untuk menjadi seorang guru itu lebih banyak diperoleh di sekolah berbanding secara teori semata-mata. Kedua, dasar 90 : 10 ini boleh terus dimansuhkan jika ternyata kita tidak bersedia untuk melaksanakannya.

Oleh itu, kembalikan menghantar guru baru dari semenanjung agar mereka pula dapat menimba pengalaman tidak ternilai di Sabah dan Sarawak. Ketiga, jika tetap mahu teruskan dasar ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diharap menghantar terlebih dahulu guru baru mengajar di Borneo supaya ada pusingan untuk kami pula berbakti di negeri kelahiran sendiri. Sesungguhnya, anak-anak murid di sini sangat menagih ilmu/kemahiran daripada guru-guru baru sama seperti mereka menerima kehadiran kami dahulu.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Keempat, KPM diharap dapat memperbaiki dan memperhalusi semula sistem EGTUKAR dan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Semua ini tidak membantu sama sekali, malah menimbulkan keresahan kepada pemohon. Sebagai contoh, tanda lampu isyarat, sistem merit, mengajar kelas peperiksaan, negeri kebal dan lain-lain yang berkaitan. Kelima, perpindahan guru perlu dibuka dengan lebih kerap dalam 1 tahun.

Kami mengharapkan sesi perpindahan ditambah menjadi tiga (sekolah menengah) atau empat kali (sekolah rendah) dalam setahun supaya lebih ramai pemohon berpeluang untuk berpindah tanpa menunggu satu tempoh yang lama dan tidak pasti. Keenam, selain kes duka lara, diharap kementerian dapat beri perhatian juga kepada guru bujang yang sudah cukup tempoh perkhidmatan dan permohonan bersama.

Walaupun mungkin mereka tiada pasangan, mereka tetap ada ibu dan ayah untuk berbakti. Untuk kali ini, fokuskan dulu permohonan dari Borneo ke semenanjung kerana terlalu banyak masa, wang, dan tenaga yang kami habiskan bertahun-tahun setiap kali mahu balik. Harapan Sebagai seorang pendidik, kami sedar tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan di sekolah.

Kami juga sudah bersedia untuk ditempatkan di mana sahaja seperti janji di awal kerjaya dahulu. Namun, kami cuma mahukan jawapan dan jaminan masa yang jelas. Sampai bila kami harus bermain dengan emosi dan perasaan berjauhan dengan pasangan yang berlainan tanah, jauh beribu kilometer sedangkan kami sudah sah jawatan dan cukup tempoh perkhidmatan di sekolah semasa seperti yang diharapkan.

Di samping itu, sekiranya kerajaan berhasrat untuk melakukan penjimatan, caranya adalah dengan memindahkan kami balik semula. Kerajaan tidak perlu lagi membayar elaun wilayah dan waran perjalanan yang kami peroleh sekali dalam setahun pada masa ini.

Akhir kalam, kami juga seperti insan lain yang mahu hidup bersama pasangan bagi membina kehidupan yang lebih baik. Masa tidak menunggu kita. Jika ada pihak yang mahu mengkritik luahan ini, cuba letak diri anda terlebih dahulu di tempat kami. Berat mata memandang, berat lagi bahu kami yang memikul.

ARTIKEL INI DIHANTAR OLEH: Muhammad Sofuan bin Saadon Matu, Sarawak.

(Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis, ia tidak semestinya melambangkan pendirian Pendidik2u)

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u