Salah satu inisiatif MyDIGITAL di bawah Kluster Kerajaan adalah untuk merealisasikan aspirasi 100 peratus penjawat awam mencapai tahap celik digital menjelang tahun 2025.
Aspirasi yang sama turut ternyata dalam Bidang
Keutamaan A Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di bawah Strategi A1 Mentransformasi Perkhidmatan Awam.
Surat Arahan: https://t.me/pendidik2u/8378
Celik digital merupakan keupayaan seseorang untuk mencari, menilai dan menggunakan maklumat melalui platform digital (Wikipedia).
Secara khusus, ia adalah kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan komputer dan Internet dalam kehidupan seharian, dalam pekerjaan dan juga pembelajaran (Northstar Digital Literacy).
Celik digital di kalangan penjawat awam adalah keupayaan untuk capai (access) dan guna (use) platform digital dalam urusan pekerjaan seharian.
Capai (access) ialah keupayaan atau kemahiran untuk mencapai (access) maklumat secara digital menggunakan peralatan ICT manakala guna (use) ialah keupayaan dan kemahiran untuk menggunakan maklumat dan teknologi digital dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Celik digital di kalangan penjawat awam merupakan salah satu sasaran di bawah Teras 1, Strategi 3, Inisiatif 7 (Membangun Dan Meningkatkan Kemahiran Digital Penjawat Awam untuk Semua Gred dan Skim) dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Program Celik Digital mempunyai dua (2) peringkat:
i) Membuat penilaian tahap kematangan celik digital penjawat awam terlebih dahulu melalui platform celik digital ( https://www.celikdigital.gov.my )
ii) Memastikan penjawat awam menghadiri kursus/latihan yang diperlukan
Sasaran yang telah ditetapkan ialah 100% penjawat awam celik digital pada tahun 2025.
Setiap penjawat awam perlu melaksanakan penilaian melalui platform celik digital hanya sekali. Cadangan kursus/latihan yang perlu dihadiri akan terus dimaklumkan kepada individu.
Elemen yang diuji:
Penilaian melibatkan 50 soalan yang perlu dijawab secara atas talian/online dalam masa 2 jam. Sekiranya tuan/puan terpaksa berhenti disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan atau talian internet terputus, tuan/puan boleh log in semula dan sambung menjawab soalan seterusnya dengan baki masa yang ada.
Selamat menjawab..